WASHINGTON – Starbucks mengeluarkan sepucuk surat menyokong keamanan dan menyalahkan kenyataannya yang diputarbelitkan sebagai punca premis kafe kopi premium berkenaan menjadi sasaran vandalisme, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Laxman Narasimhan berkata demikian ketika Starbucks menjadi sasaran protes dan kempen boikot di seluruh dunia disebabkan oleh perang Israel-Gaza dan perbalahan dengan sebuah kesatuan sekerja di Amerika Syarikat (AS).
Dalam surat kepada pekerja Starbucks yang dimuat naik di laman web syarikat, Laxman tidak menyebut rantau Asia Barat secara spesifik, namun berkata: “konflik di banyak lokasi telah mencetuskan keganasan, kebencian, penipuan dan menjadikan ucapan sebagai senjata dan kami mengutuk semua ini.”
“Bandar-bandar di seluruh dunia termasuk di rantau Amerika Utara menyaksikan peningkatan protes. Banyak kedai kami menjadi sasaran vandalisme.
“Kami mendapati ramai penunjuk perasaan telah dipengaruhi oleh kesilapan pentafsiran pendirian syarikat ini yang dikongsikan di media sosial.
“Pendirian kami adalah jelas. Kami berdiri (menyokong) untuk keamanan,” tegasnya.
Sebilangan netizen berkata, kempen boikot ke atas Starbucks dan demonstrasi kesatuan sekerja telah memburukkan imej syarikat berkenaan, manakala harga sahamnya menyusut lebih tujuh peratus baru-baru ini.
Beberapa penganalisis berkata, kejatuhan itu mencerminkan jangkaan jualan yang lebih lemah, sebahagian besarnya didorong oleh kuasa ekonomi yang lebih luas.
Sumber: Kosmo