Kuala Lumpur: Orange International Entertainment selaku penganjur mengakui kesilapan pihak mereka berhubung isu poster konsert A Night With Sumandak Stars: Ceritera Hatiku sehingga menyebabkan penyanyi Stacy Anam menarik diri.
Pengarahnya Datuk Mohd Fazli Idrus berkata, pihaknya terlepas pandang dan tidak cakna hal itu akan menjadi isu besar kerana tidak pernah menimpa mereka lagi sepanjang pengalaman anjurkan pelbagai konsert.
“Memang kekhilafan itu dari kami. Kami tiada niat untuk membanding atau memperkecil mana-mana pihak khususnya artis yang terbabit dalam konsert itu. Semua mereka ada kelebihan dan pencapaian hebat.
“Sebelum ini, kami pun pernah anjurkan konsert dan buat konsep serupa pada poster dan tidak berlaku isu apa-apa. Jadi, kami ambil pengajaran untuk lebih cakna selepas ini agar tidak mengguris hati sesiapa pun,” katanya.
Mohd Fazli menjelaskan kesilapan teknikal berhubung poster itu berlaku kerana kekangan masa dan Stacy juga cuma bersetuju mahu terbabit dua hari sebelum sidang media pengumuman konsert berkenaan.
“Sebenarnya konsep poster asal memang kami letakkan Stacy sebagai bintang utama. Bagaimanapun, bahagian kreatif kami memasukkan gambarnya di belakang pada saat-saat akhir selepas dia memberikan persetujuan.
“Bahagian kreatif kami pula memang tidak tahu menahu mengenai pencapaian dan tahap artis-artis yang terbabit itu. Disebabkan lagi sehari adakan sidang media, poster itu kena guna juga untuk tujuan cetakan promosi.
“Tapi sebenarnya kami boleh saja buat perubahan lanjut terhadap poster itu dan menurut kehendak artis yang terbabit. Tiada masalah untuk kami,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Fazli juga berharap Bella Astillah tidak dipersalahkan dalam hal itu kerana keputusan terbabit sepenuhnya adalah tanggungjawab penganjur.
“Bella langsung tidak masuk campur dalam soal itu. Dia sendiri pun sangat sibuk dengan agenda seninya dan apa yang kami putuskan, dia ikut saja. Tiada langsung unsur mempengaruhi kami untuk kedepankan dia.
“Kami tidak mahulah pasal isu itu akan melarat dan kucar-kacirkan hubungan sesama mereka. Industri ini kecil, nanti akan berjumpa juga di mana-mana,” katanya.
Jumaat lalu, Stacy menerusi syarikat pengurusan, Rythm & Rhyme mengumumkan menarik diri dari Konsert A Night With Sumandak Stars: Ceritera Hatiku pada 30 November depan.
Enggan memberi ulasan terperinci berhubung perkara itu, Stacy memberitahu, timbul masalah teknikal yang tidak dapat dijelaskan berhubung keputusan untuk tidak sertai konsert berkenaan.
Poster konsert terbabit menjadi bualan hangat kerana gambar Stacy bukan diletakkan sebagai yang utama. Sebaliknya Bella Astillah diletakkan sebagai ‘bintang utama’.
Semalam, penganjur memuat naik poster terbarunya yang meletakkan semua artis terbabit sama rata tanpa gambar Stacy selepas pengumumannya menarik diri.
Sumber – Harian Metro