SPRM Beku 41 Akaun Milik Aman Palestin

0
149
Foto: FMT

KUALA LUMPUR, 23 November- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memaklumkan telah membekukan 41 akaun bank milik Aman Palestin Berhad dan beberapa entiti syarikat lain berkaitan dengannya membabitkan wang berjumlah lebih RM15 juta.

Menerusi satu kenyataan, SPRM menjelaskan siasatan awal ke atas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu turut mendapati dianggarkan RM70 juta telah disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhannya.

“Berhubung siasatan terhadap dakwaan Aman Palestin menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai yang telah dijalankan sejak 17 Oktober 2023, suruhanjaya ini telah membekukan sebanyak 41 akaun bank syarikat pertubuhan amal tersebut dan beberapa entiti syarikat lain dengan jumlah keseluruhan RM15,868,762.00, semalam.

“Sebelum ini, SPRM turut membuat penggeledahan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen-dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan siasatan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan-kesalahan bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574).

“SPRM juga telah merakam beberapa keterangan saksi-saksi penting dan hasil siasatan awal telah mengenal pasti beberapa isu melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan,”menurut kenyataan SPRM itu.

Bulan lalu suruhanjaya itu mendedahkan pihaknya sedang menyiasat Aman Palestin berikutan timbul keraguan daripada masyarakat dan laporan media tempatan yang mempersoalkan sama ada wang derma yang dikumpul betul-betul disalurkan kepada rakyat Palestin.

Susulan itu, Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menerusi surat bertarikh 24 Ogos lepas turut meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis agar tidak membenarkan kutipan Tabung Aman Palestin dilaksanakan di premis agama Islam di negeri itu.

Sebelum itu, Dr Mohd Asri dalam hantarannya di aplikasi X meminta orang ramai berhati-hati dengan ‘scammer’ atau sindiket penipuan yang cuba mengambil kesempatan mengumpul dana kononnya untuk membantu rakyat Palestin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here