PUTRAJAYA – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 akan bermula pada 2 Disember tahun ini hingga 6 Februari 2025.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, Ujian Bertutur Bahas Melayu dijadual pada 2 hingga 5 Disember, diikuti Ujian Amali Sains pada 9 hingga 12 Disember manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 16 hingga 19 Disember.
Ia diikuti Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada 31 Disember seterusnya Peperiksaan Bertulis dijadual pada 21 Januari hingga 6 Februari.
“Secara keseluruhan, seramai 402,956 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM Tahun 2024 di 3,337 buah pusat peperiksaan seluruh negara.
“Manakala seramai 126,636 orang petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, KPM mengingatkan semua calon peperiksaan SPM Tahun 2024 agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.
“Jadual waktu peperiksaan SPM Tahun 2024 boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my,” ujarnya.
KPM berkata, calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
“Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM Tahun 2024,” katanya.
Berhubung keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan KPM memaklumkan, pihaknya sentiasa bersiap siaga mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan.
Sumber – Kosmo! Online