“Ketika saya bertanyakan kepada pemilik yang juga suami isteri itu mereka memberitahu ada seorang pempengaruh ingin menyewa gerai mereka untuk menghasilkan satu kandungan video bagi melihat keprihatinan rakyat Malaysia.
“Jadi itu pendapatan untuk mereka dan tidak salah pun mereka menyewa termasuk juga pempengaruh itu kerana video asal yang dimuatnaik sudah memaklumkan bahawa kandungan itu bersifat eksperimen sosial, namun ada individu yang sunting tanpa menyatakan itu adalah lakonan hingga membuatkan ramai yang percaya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Katanya, tindakan individu itu adalah perbuatan tidak beretika dan tidak bertanggungjawab hingga menyusahkan ramai pihak termasuk warga media yang terpaksa membuat siasatan untuk memperjelaskan semula keadaan kepada masyarakat supaya tidak ditipu dengan mudah.
“Kalau rasa nak bantu orang susah cari kemudian bantu mereka dengan cara yang betul dan mengapa sampai nak guna video orang lain yang tuan empunya sudah beritahu bahawa ia sekadar lakonan tetapi hendak juga buat seolah-olah perkara itu benar.
“Orang sebegini hanya nak raih perhatian dengan mudah supaya cepat naik rating tetapi menyusahkan ramai orang dan memberi gambaran buruk kepada pelbagai pihak termasuk pemimpin setempat,” katanya.
Sementara itu, memetik laporan sebuah akhbar tempatan pasangan suami isteri, Muzafar Idris,35, dan Noor Amrina Azmi, 34, mengakui gerai mereka disewa oleh seorang pempengaruh tempatan yang menghasilkan kandungan video terbabit dengan tujuan untuk membantu meningkatkan jualan mereka.
Walau bagaimanapun, Noor Amrina mendakwa, konteks video berkenaan disalahertikan apabila bahagian awal video yang memaparkan pemberitahuan eksperimen sosial itu ‘dipotong’ dan kemudiannya dikongsikan pengguna media sosial lain yang menggambarkan seolah-olah ia adalah kisah benar.
“Sehingga hari ini, sudah lebih 20 individu, agensi kerajaan antaranya Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pertubuhan bukan kerajaan dari dalam dan luar negeri datang ke gerai kami bertanyakan mengenai keadaan kami sekeluarga.
“Sebenarnya, bukan anak kami yang menjual sate ikan, itu hanyalah pelakon yang diupah pempengaruh terbabit dan gerai kami hanya digunakan bagi tujuan penggambaran.
“Kami tidak sangka video itu akan tular sehingga sedemikian rupa dan kami memohon maaf sekiranya menyusahkan banyak pihak yang tampil dan ingin menghulurkan bantuan,” katanya.
Minggu lalu tular video memaparkan kegigihan seorang kanak-kanak lelaki menjual pelbagai jenis makanan antaranya seperti sate ikan, otak-otak serta minuman dengan ditemani adik perempuannya hingga melahirkan rasa kagum dan simpati netizen.
Sumber: Harian Metro