Snorkeling Tanpa Pakai Jaket Keselamatan, Pelancong China Ditemui Mati Lemas

0
51
Foto: Harapan Madani

SEMPORNA – Kegembiraan dua pelancong China melakukan aktiviti snorkeling untuk melihat keindahan dasar laut di Pulau Bum-Bum, di sini, berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripadanya lemas.

Mayat Lin Jun Yong, 25, warga China ditemui terapung dengan memakai alat snorkeling di laut kira-kira 30 meter dari jeti sebuah resort pukul 10.15 pagi semalam. .

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan polis jam 8.27 malam kelmarin daripada pengurus sebuah resort di Pulau Bum-Bum memaklumkan seorang pelancong lelaki hilang ketika melakukan aktiviti snorkeling.

Katanya, sebelum kejadian kira-kira pukul 4.30 petang kelmarin, mangsa bersama rakannya melakukan aktiviti snorkeling tanpa memakai jaket keselamatan kerana beranggapan mereka pandai berenang di hadapan resort berkenaan dengan jarak 10 ke 15 meter dari jeti resort.

“Pada pukul 5.15 petang hari yang sama, rakan mangsa telah naik semula ke jeti resort berkenaan kerana tidak melihat mangsa di laut.

“Rakan mangsa lelaki yang juga warga China kemudiannya menemui pengurus resort dan bertanya sama ada melihat mangsa ataupun tidak.

“Pengurus resort mengatakan tidak melihat rakannya (mangsa) lalu membuat pemeriksaan di bilik mangsa namun tidak menemuinya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd. Farhan berkata, kali terakhir pengurus resort melihat mangsa ketika mangsa dan rakannya melakukan aktiviti snorkeling.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian air laut dalam keadaan pasang dan melepasi kepala pada kedalaman air kira-kira tiga meter.

“Jarak antara mangsa dan rakannya ketika melakukan aktiviti snorkeling hampir lima hingga 20 meter. Semakan terhadap kamera rakaman litar tertutup (CCTV) resort mendapati tidak berfungsi,” katanya.

Menurutnya, pasukan pencarian SAR diaktifkan membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan komuniti setempat.

“Pada pukul 10.15 pagi semalam, mangsa akhirnya ditemui dalam keadaan terapung di laut kira-kira 30 meter dari jeti resort berkenaan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Besar Semporna untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, mana-mana saksi kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes Asisten Superintendan Polis (ASP) Mohammad Ali Amat di talian 0132120852 atau di talian 089-782020 atau mana-mana balai polis berdekatan.

“Pengusaha resort atau penggiat pelancong dinasihati supaya mewajibkan pelancong atau pelanggan memakai jaket keselamatan ketika membuat aktiviti di laut atau memantau serta sentiasa memastikan CCTV dalam keadaan berfungsi dan baik. 

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here