SUNGAI PETANI, 28 November- Polis menahan enam lelaki kerana merusuh tanpa senjata dalam kejadian di hadapan sebuah hotel di Jalan Padang Temusu, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata kejadian berlaku berpunca daripada seorang lelaki berusia 42 tahun yang menjadi mangsa pukul, dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan isteri salah seorang lelaki yang ditahan berusia 33 tahun.
“Polis menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan dia ternampak sekumpulan lelaki memukul seorang lelaki, di hadapan sebuah hotel di Padang Temusu, kira-kira pukul 1 tengah hari semalam.
“Susulan itu, polis menahan semua lelaki yang terlibat termasuk mangsa pukul yang mengalami kecederaan luka ringan di bahagian kepala, muka, dan paha kiri.
“Tiada sebarang senjata digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Zaidy, ujian saringan air kencing ke atas kesemua yang ditahan mendapati, mangsa serta dua lagi suspek masing-masing berusia 16 dan 33 tahun, positif dadah.
Tambah beliau, semakan juga mendapati selain remaja terbabit, semua yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Katanya, lima daripada enam yang ditahan direman empat hari bermula hari ini sehingga 1 Disember, manakala remaja berusia 16 tahun yang terlibat direman sehari.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.