SK Cyberjaya Macam ‘Sardin’, KPM Luluskan 12 Bilik Darjah Tambahan Baharu

0
47
Foto: MalaysiaGazette

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) meluluskan pembinaan 12 buah kabin bilik darjah tambahan dalam menangani isu kepadatan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya.

KPM dalam kenyataan berkata, ia sebagai penyelesaian jangka pendek yang sedang dilaksanakan oleh pihaknya termasuk penyuraian murid Tahun 1 ke beberapa buah sekolah berdekatan.

Katanya, beberapa langkah jangka pendek serta panjang telah dirancang dan sedang dalam peringkat pelaksanaan bagi mengatasi isu ini.

“Bagi penyelesaian jangka panjang, SK Cyberjaya (2) yang dibida dalam RMKe-12 RP3 (tahun 2023) telah mendapat kelulusan dan kini berada dalam proses perolehan.

“Sekolah baharu ini bakal dilengkapi dengan 36 bilik darjah serta kemudahan-kemudahan lain mengikut konsep reka dan bina bagi mempercepatkan proses pembinaan. SK Cyberjaya (2) dijangka siap pembinaan pada tahun 2028,” katanya hari ini.

Jelas kenyataan itu, KPM turut mempunyai perancangan masa hadapan bagi mengatasi isu kepadatan murid di Cyberjaya.

“Ini termasuk menerusi pembinaan sekolah menengah baharu Sekolah Menengah Kebangsaan Cyberjaya (2) yang akan dimohon dalam RMKe-13 RP1 Tahun 2026 pada tahun ini dan perolehan tanah bagi pembinaan SK Cyberjaya (3) yang akan dimohon dalam RMKe-13 RP2 Tahun 2027 pada tahun 2025,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, KPM sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan murid, guru dan semua warga sekolah di seluruh negara.

“Pendidikan manusiawi memastikan akses pendidikan terbaik untuk semua murid,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung situasi kepadatan murid-murid Tahun 1 di SK Cyberjaya yang memuatkan 50 pelajar dalam satu bilik darjah. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here