PEMAIN skuasy wanita negara, S. Sivasangari menebus kekecewaan 2018 apabila merangkul emas pada Sukan Asia Hangzhou 2023 dalam acara perseorangan wanita selepas membenam cabaran Chan Sin Yuk dari Hong Kong menerusi kemenangan 3-2.
Pada aksi final di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou semalam, pemain berusia 24 tahun itu berdepan cabaran sengit sebelum menang 8-11, 15-13, 10-12, 11-9, 12-10.
Meskipun pada awalnya ketinggalan dua kali, namun Sivasangari langsung tidak mengenal erti putus asa apabila memberikan segala-galanya untuk melakar kebangkitan dan memastikan emas menjadi milik Malaysia.
Menurut Kosmo, emas yang dimenangi menyaksikan Sivasangari memperbaiki pencapaian pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang.
“Satu perlawanan yang gila dan mendebarkan sejak awal hingga habis. Syabas Sivasangari, dia memang layak untuk menang kerana kita ingat balik dia terlibat dalam kemalangan yang hampir meragut nyawa tahun lalu,” kata pengurus pasukan skuasy negara, Nafzahizam Adna.
Sementara itu, gandingan Mohd. Syafiq Kamal dan Aifa Azman dalam acara beregu campuran menghadiahkan pingat perak buat Malaysia selepas tewas menerusi aksi straight set 10-11, 10-11 di perlawanan akhir.
Terdahulu, skuasy negara tampil cemerlang meraih emas buat Malaysia menerusi acara berpasukan wanita selepas berjaya membenam juara bertahan, Hong Kong 2-1.
Sumber: Kosmo