PETALING JAYA – Hasil kerja keras selama hampir tiga dekad, penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza dianugerahkan sebagai Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya hari ini.
Khabar yang dinanti-nanti ramai itu dimaklumkan pengurusnya, Rozi Abdul Razak dalam satu hantaran dalam Instagram yang memaparkan poster ucapan tahniah daripada pihak Siti Nurhaliza Legacy dan Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd.
“Sekalung tahniah Datuk Seri Siti Nurhaliza atas penganugerahan sebagai Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024,” katanya.
Ads by Kiosked
Sementara, ruangan komen dibanjiri dengan ucapan tahniah termasuk daripada rakan selebriti yang menyifatkan Siti layak menggalas gelaran tersebut.
Bukan itu sahaja, peminat dari Indonesia turut menyokong penganugerahan tersebut diberikan kepada pelantun lagu Percayalah itu.
“Tahniah Siti, anda memang layak dan tiada tandingan.
“Saya sebagai peminat dari Indonesia turut menyokong dan bersetuju Siti diberikan anugerah ini,” komen peminat.
Sebelum ini, gelaran Biduan dan Biduanita Negara adalah penganugerahan kepada anak seni oleh Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Sehingga kini, hanya tiga anak seni legenda yang pernah menerima gelaran tersebut antaranya Allahyarham Saloma yang dianugerahkan pada tahun 1978, Allahyarham Sharifah Aini (2006), dan Allahyarham Tan Sri SM Salim (2013).
SUMBER – KOSMO! ONLINE