Kuala Lumpur: Gara-gara babak intim bersama Zul Ariffin dalam drama Perempuan Itu yang mencetus kontroversi hangat, nama pelakon, Siti Hariesa tidak semena-mena turut dikenali.
Bagaimanapun, Siti Hariesa enggan lagi perkara itu berulang dan akan lebih berhati-hati.
“Baik atau buruk, publisiti tetap publisiti. Kalau boleh, saya nak elakkan perkara sebegitu (kontroversi) terjadi lagi selepas ini.”
Siti Hariesa berkata, dia kini mengambil pendekatan untuk lebih berhati-hati supaya kesilapan sama tidak berulang.
“Saya sudah ‘move on’ dengan kontroversi yang hampir meletakkan noktah pada kerjaya seni yang baru hendak bermula.
“Kejadian itu menjadi pengajaran dalam hidup saya. Jadi selepas ini saya akan lebih berhati-hati untuk meneliti skrip terlebih dulu. Kalau ada babak panas saya akan tapis.
“Saya lebih banyak mendiamkan diri ketika itu kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang sudah sedia tegang,” katanya.
Pelakon yang dicungkil bakatnya menerusi program Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 itu tidak pernah terfikir untuk berputus asa atau berundur daripada kerjaya lakonan walaupun pernah dikecam hebat netizen.
Malah, dia turut mendapatkan nasihat rakan-rakan pelakon ketika berdepan kontroversi itu.
Terdahulu, Siti Hariesa terpalit kontroversi gara-gara video ‘teaser’ yang memaparkan babak intim dengan Zul tular di media sosial.
Antara babak yang membuatkan ramai ‘ternganga’ adalah aksi Zul mendukung Siti Hariesa seperti sedang berasmara.
Ini termasuk babak Hariesa menyuap ‘whipping cream’ ke mulut Zul dengan aksi mengghairahkan.
Sumber: Harian Metro