PENYANYI dan pengacara, Sissy Iman bakal bergandingan dengan Naz Rahman bagi menggemudi Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) yang akan berlangsung pada 16 Februari depan, bermula jam 9 malam di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Gandingan mereka dijangka membawa kemeriahan dan energi yang luar biasa, memastikan setiap detik acara ini menghiburkan para penonton.
Pengumuman itu dibuat pada sesi siaran langsung Mega Live AJL39 di TikTok TV3 Malaysia pada malam Sabtu lalu.
Bukan itu sahaja, sama seperti pengumuman sebelum ini, TV3 selaku penganjur mengekalkan keputusan iaitu hanya 10 buah lagu dipertandingkan pada edisi kali ini, berbanding 12 buah lagu dalam edisi sebelumnya.
Secara tidak langsung, penonton akan menyaksikan persaingan sengit daripada 10 finalis terdiri daripada Aina Abdul (Puas Sudah), Ernie Zakri (Aura), Marsha Milan (Hening Rindu), Hafiz Suip (Terus Bersinar) dan Nadeera Zaini (Bukan Lagi Kita).
Turut sama bersaing adalah Akim And The Majistret (Saksama), Hael Husaini (Diam), Masdo dan Aishah Aziz (Pujaanku), Amir Masdi (Sengaja) serta MK, Tuju K-Clique, Benzollo, Ghidd dan Meerfly (Risiko).
Pada tahun ini, AJL39 membawa tema, Nada Rasa yang mengangkat kekuatan muzik dalam menyampaikan emosi dan mesej yang mendalam melalui pelbagai jenis instrumen.
Dengan tema ini, AJL39 bertujuan untuk menonjolkan bagaimana setiap nada dan getaran muzik mampu menyentuh hati pendengar, sekaligus mencipta pengalaman yang penuh dengan perasaan.
Tema ini juga memberi ruang kepada setiap finalis untuk mempersembahkan karya mereka dengan cara yang lebih puitis dan beremosi, mencerminkan keunikan serta kekuatan muzik masing-masing.
Sumber – Sinar Harian