Sibuk Komen Buruk Mangsa Nahas TLDM, Polis Rampas Telefon

0
103
Foto: Beautifulnara

KUALA LUMPUR – Polis mengambil tindakan ke atas pengguna media sosial yang membuat komen jelik berhubung nahas dua helikopter terhempas ketika menjalani latihan raptai di  Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, susulan itu pihaknya membuka satu kertas siasatan terhadap pemilik akaun X, Saifuddin Shafiq.

“Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, telefon bimbit jenis Iphone 12 Pro yang dipercayai digunakan untuk membuat hantaran jelik tersebut turut dirampas.

Shuhaily memberitahu, kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa selain cakna dan prihatin terhadap isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam melalui media sosial.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan satu laporan polis dibuat terhadap pengguna media sosial yang mengeluarkan komentar jelik berhubung nahas dua helikopter tersebut.

Tindakan itu dianggap melampau dan tidak menghormati sensitiviti keluarga yang masih berada dalam keadaan sedih akibat kehilangan ahli keluarha masing-masing.

Kelmarin, negara digemparkan dengan insiden dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut.

Pesawat HOM-AW139 yang dinaiki tujuh kru terhempas di Stadium TLDM Lumut, manakala Fennec yang membawa tiga lagi individu terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Susulan kejadian itu, Lembaga Siasatan telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca tragedi. -KOSMO! ONLINE.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here