SHAH ALAM – Proses rawatan Faisal Halim makin menunjukkan perkembangan positif dan kini sudah pun dipindahkan ke wad biasa.
Bagaimanapun, bintang Harimau Malaya itu kekal dalam pemantauan doktor kerana keadaannya masih lagi sensitif.
Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar, berkata reaksi Faisal selepas jalani proses ‘skin allograft’ bertambah baik dan selepas ini akan ada kulit di bahagian lain diambil untuk ditampal pada kawasan yang cedera.
“Hampir setiap hari saya dan Faisal berbalas ‘voice note’ dan paling penting percakapannya makin jelas. Selera makannya juga bertambah malah saya dengar (Faisal) sudah teringin nak makan nasi kandar,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Faisal sudah pun selesai menjalani pembedahan ketiga menggunakan ‘skin allograft’ yang dianggarkan bernilai RM30,000 dan dijangka akan menjalani satu lagi pembedahan minggu depan.
Dalam masa sama, Shahril juga menjelaskan Faisal atau Mickey ada bertanya kepada isterinya tentang perlawanan Piala Sumbangsih, namun pihak kelab mengharapkan pemain itu fokus terhadap proses pemulihannya.
“Perkembangannya baik tetapi saya serahkan kepada doktor. Mungkin (ambil) masa lama dan saya rasa paling kurang dua minggu lagi akan berada di hospital.
“Selepas selesai ‘skin allograft’, Alhamdulillah reaksi Faisal sangat baik dan selepas ini dia akan buat langkah keempat di mana kulit di bahagian lain akan ditampal di kawasan yang cedera,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Sumber: Kosmo