Shaheizy Sam, Keluarga Sakit Hampir Seminggu, Hanya Syeriv Imun Kuat

0
43
Foto: Harian Metro

PETALING JAYA – Tidak diketahui puncanya, keluarga pasangan pelakon Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin diserang sakit dengan mengalami muntah dan cirit-birit selama hampir seminggu.

Lebih membimbangkan apabila, isterinya, Syatilla memuat naik foto dengan mata merah seakan-akan berdarah dalam Instagram semalam.

“Awalnya anak-anak perempuan Sarima dan Salama yang sakit muntah-muntah dan cirit-birit.

“Syatilla pula sebelum demam, mata sudah tidak selesa, gatal dan berair serta rasa kabur. Selepas mata dia mula nak okey, sehari selepas anak-anak demam, Syatilla pula demam.

Bila sudah mula muntah-muntah, mata Syatilla yang sebelum itu mula okey menjadi merah seperti pembuluh mata pecah,” ujar Sam ketika dihubungi HibGlam sebentar tadi.

Bimbang keadaan menjadi lebih teruk, mereka sekeluarga mendapatkan rawatan di hospital yang berdekatan dengan rumah.

“Kami sudah pergi ke hospital. Alhamdulillah tidak ada virus yang membimbangkan seperti kencing tikus atau denggi.

Jangkaan saya mungkin terkena rotavirus, tetapi doktor tidak pula cakap virus itu. Jadinya, kami ke hospital untuk menjalani pemeriksaan darah dan juga ambil drip air supaya tidak dehidrasi.

“Tidak sampai sehari kami pulang ke rumah dengan bekalan banyak ubat. Kami minta pulang kerana jarak hospital dengan rumah sangat dekat.

“Jika ada kecemasan atau keadaan menjadi lebih teruk kami akan segera ke hospital semula,” ujar Sam.

Dalam pada itu, Sam yang merupakan orang terakhir berjangkit bersyukur kerana anak sulungnya, Syeriv memiliki imun yang kuat.

“Kami semua tumbang dan lembik termasuklah saya yang menjadi orang terakhir sekali berjangkit.

Tetapi Syeriv kuat, hanya dia sahaja yang tidak mengalami sebarang simptom dan berada dalam keadaan sihat.

“Terima kasih untuk semua peminat dan rakan-rakan yang mendoakan kesihatan dan kesejahteraan keluarga saya,” tutur Sam.

Sam dan Syatilla berkahwin pada 8 Februari 2016 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Syariv Samheizy, 7, Sarima Samheizy, 5, dan Salama Samheizy, 2.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here