KUALA LUMPUR, 22 Disember- Peniaga di Jalan Silang yang didapati melanggar peraturan perniagaan dengan menyewakan premis mereka kepada warga asing akan berdepan tindakan lesen dibatal atau gantung sementara oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata ketika ini, pihaknya sedang dalam proses untuk mendapatkan maklumat maklumat lebih lanjut mengenai perkara itu.
Beliau berkata, lesen yang diberikan kepada pemilik haruslah digunakan sebaik mungkin, bukannya diberikan kepada warga asing untuk berniaga.
“Ia juga adalah antara tumpuan utama DBKL dalam membanteras lambakan peniaga warga asing yang terus menguasai lokasi perniagaan utama di ibu kota,” katanya.
Dr Zaliha berkata pihaknya kini menunggu maklumat menyeluruh daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah melaksanakan operasi bersepadu itu di Jalan Silang semalam.
Dalam operasi bersepadu yang dijalankan PGA PDRM semalam, seramai 1,101 pendatang asing tanpa izin ditahan hasil serbuan terhadap 60 premis di sekitar Jalan Silang.
Selain daripada itu, sebanyak 100 karton rokok, 80 karton arak dan pelbagai ubatan yang dibawa masuk tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan dengan nilai keseluruhan RM104,530.
Operasi dijalankan bagi tujuan membanteras kegiatan jenayah yang berlaku di sekitar kawasan itu dan Kompleks Kota Raya terutamanya melibatkan warga asing.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata operasi tersebut turut fokus membanteras sebarang aktiviti tidak sihat di kawasan berkenaan.
Malah, polis katanya akan sentiasa menjalankan operasi bersepadu dari semasa ke semasa untuk memastikan Kuala Lumpur bebas daripada pendatang tanpa izin.