Dua teraju filem Tegkang iaitu Syafie Naswip dan Michelle Lungan berdepan pelbagai cabaran sewaktu menjayakan penggambaran naskhah terbabit.
Naskhah bakal ditayangkan di pawagam seluruh tanah air pada 28 November ini menjalani penggambaran di lokasi pedalaman di Bario, Sarawak.
Sudah pasti menyusur ke kawasan pedalaman memerlukan kegigihan dan kesabaran yang tinggi. Belum lagi peristiwa berdepan masalah kesihatan sepanjang prosesnya.
Syafie atau Muhammad Syafie Naswip, 32, berkongsi dia mengalami demam panas dan memerlukan ke klinik setiap hari untuk mendapatkan suntikan. Ia disebabkan dia mengalami pendarahan pada luka di badannya.
“Paling menarik sepanjang penggambaran filem ini saya tengah sakit teruk, empat hari sebelum penggambaran saya menjalani pembedahan apendiks. Saya minta keluar awal dan terus masuk set, memanjat bukit, gunung, lalui hutan, paya dan sebagainya.
“Disebabkan itu, luka saya berdarah dan nanah, namun saya terus juga shooting sehingga saya demam panas berikutan cuaca. Cuaca di sana sebelah pagi, sejuk, dan tengahari sampai petang panas sangat, malam pula sangat sejuk. Kita pula tak bawa baju sejuk memang tengah berlakon menggigil.
“Di sana ada satu klinik kecil sahaja dan setiap hari saya kena ke klinik untuk dapatkan suntikan atau masuk air. Tapi ia pengalaman yang bagus sebab pemandangan sana cantik, makanan sedap, rakyat tempatan sana pun baik-baik,” katanya.
Syafie tidak sangka juga apabila kerap mendapat tawaran naskhah menceritakan pasal Borneo kebelakangan ini. Tapi baginya Tegkang sangat istimewa kerana di situlah dia mengenali kawasan Bario serta merasai sendiri keindahannya.
“Tegkang adalah filem kedua saya mengenai Sarawak, sebelum ini saya menjayakan Sumpahan Jerunai. Tak tahu kebelakangan ini banyak tawaran menjayakan filem di Borneo tapi ia satu yang bagus kerana di sana banyak suku kaum yang kita belum tonjolkan.
“Saya pun tak pernah dengar Bario sebelum ini dan masa saya sampai, ia bukan suatu yang pelik sebab orang di sana sangat peramah dan menerima kita dengan baik,” katanya.
Bagi Michelle pula, Tegkang membuka lalu yang cukup besarnya untuk mencipta nama dalam industri lakonan arus perdana. Selama ini tawarannya hanya terhad di tempat kelahiran dan sangat bersyukur diberi peluang itu.
Paling membuatkan rasa syukurnya berganda adalah kerana naskhah itu menaikkan pasal kaum Kelabit. Memiliki darah Kelabit sendiri, dia berharap dapat memperkenal lagi kaum minoriti dari Sarawak itu.
“Saya pergi uji bakat untuk filem ini lebih dari empat kali, kerana filem ini sukar kerana ia memerlukan pelakon yang boleh bertutur bahasa Kelabit. Kelabit pula kaum minoriti di sini.
“Jadi nak cari pelakon yang fasih cakap bahasa Kelabit dan berpengalaman, tidak mudah. Saya dan Syafie sahaja yang ada pengalaman berlakon. Yang lain semuanya kali pertama berlakon.
“Filem ini juga sepenuhnya dirakamkan di Bario, nak ke sana kena terbang ke Miri dulu, kemudian ambil kapal terbang kecil yang mengambil masa sejam ke Bario. Kalau ikut jalan balak, 16 jam baru yang sampai Bario,” katanya.
Menerusi filem itu juga, Michelle berjaya menang kategori Pelakon Wanita Terbaik di Borneo Arts And Creative Awards (BACA) 2024 yang berlangsung di Kuching pada September lalu.
Tegkang mengisahkan mengenai hubungan antara seorang pelancong, Hanafi (Syafie) dengan seorang gadis tempatan iaitu Rinai (Michelle) yang dibesarkan di sebuah kampung di kawasan pedalaman di Bario, Sarawak.
Bagaimanapun, kehadiran Hanafi ke kampung itu mengubah kehidupan Rinai, yang akan mengakibatkan sebuah rahsia lama yang tersimpan akhirnya terbongkar.
Filem ini menggunakan hampir 99 peratus pelakon tempatan Kelabit dan penggambaran juga hampir keseluruhannya dilakukan di Bario. Tegkang diambil daripada bahasa kaum Kelabit di Sarawak yang bermaksud pelangi.
Menariknya mengenai Tegkang adalah paparan mengenai budaya dan kehidupan masyarakat kaum Kelabit yang jarang diketengahkan dan kurang diketahui masyarakat luar.
Ia antara kelainan yang cuba ditampilkan memandangkan masyarakat lebih mengenali Sarawak dengan kisah ‘headhunting’ (pemburu kepala) atau Bujang Senang. Sedangkan Sarawak cukup kaya dengan pelbagai budaya yang menarik serta tempat-tempat yang cukup indah.
Sumber – Harian Metro