Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang diadakan di Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur telah melabuhkan tirainya semalam.
Terdapat rakan media bertanya saya, mengapa saya tidak hadir sepanjang berlangsungnya program tersebut?
Saya menjelaskan ketidakhadiran saya adalah disebabkan saya terikat dengan tugasan rasmi yang tidak dapat dielakkan. Namun saya amat bersyukur dengan adanya Timbalan saya, YB Khairul Firdaus Akbar Khan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), YBhg. Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman yang turun padang serta berinteraksi secara aktif dengan para pengunjung bersama agensi-agensi di bawah MOTAC ketika berlangsungnya Program Setahun Bersama Kerajaan Madani.
Para pegawai dan warga MOTAC yang berada di sana sepanjang berlangsungnya Program Setahun Bersama Kerajaan Madani juga telah melaporkan setiap perkembangan kepada saya.
Kami juga merekod dan akan mengkaji maklum balas yang diberikan oleh orang ramai kepada MOTAC.
MOTAC sentiasa berusaha keras dalam mempromosikan pelancongan Malaysia, merangsang pertumbuhan ekonomi, memperkenalkan penerbangan sewa khas (chartered flight) dan juga mempercepatkan pelaksanaan semula program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).
Kami berusaha sedaya upaya menerusi perancangan kerja yang rasional untuk memastikan Kementerian dan agensi-agensi MOTAC dapat terus berada di landasan yang betul dan memaksimumkan keberkesanannya.
Pada pendapat saya, perkara yang paling penting pada masa kini adalah mengekal hubungan baik dengan agensi-agensi pelancongan dan syarikat penerbangan dari seluruh dunia, agar membuka saluran yang boleh membawa kepada lonjakan ketibaan pelancong ke Malaysia.
Ini akan membantu Kerajaan Perpaduan untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi negara.
Kemasukan tanpa visa Malaysia ke China dan India adalah satu Langkah bersejarah.
Ketika Kerajaan Perpaduan memasuki tahun pertama ditampuk pemerintahan, Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan menteri-menteri lain telah mengadakan perbincangan yang teliti dalam setiap mesyuarat Kabinet mengenai pelbagai isu awam dan hal ehwal negara, termasuk memberi tumpuan kepada projek kerajaan utama, menjimatkan dana kerajaan dan menambah baik pelaksanaan dasar-dasar kerajaan supaya pelaksanaan projek-projek penting seperti Lebuhraya Pan-Borneo dapat diberi tumpuan dan memberi manfaat kepada rakyat.
Saya tahu bahawa YAB Perdana Menteri telah menaruh harapan tinggi kepada MOTAC. Sebelum ini, dalam usaha meningkatkan jumlah pelancong antarabangsa yang berkunjung ke Malaysia, MOTAC bukan sahaja berusaha keras dalam meningkatkan kecekapan dan layanan mesra pengembara yang keluar masuk Malaysia; malah kami juga menghadapi dengan pelbagai cabaran termasuk isu keselamatan.
Walaubagaimanapun, saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Kementerian Dalam Negeri atas usaha-usaha mereka serta sokongan dari negara-negara yang berkenaan dalam menjayakan kemudahan visa semasa ketibaan (VOA) kepada pelancong China dan India melalui menaiki penerbangan terus ke Malaysia sepertimana diumumkan baru-baru ini.
Ini merupakan satu perkara yang baik dan menunjukkan dasar terbuka dan progresif Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar adalah selaras dengan konsep Malaysia MADANI.
Sektor pelancongan Malaysia kini dalam keadaan bersiap siaga, agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang berkenaan perlu bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri serta Kementerian Ekonomi untuk mendapatkan sokongan dan kerjasama dalam menaik taraf serta mengoptimumkan infrastruktur dan kemudahan tarikan pelancong.
Justeru, setiap negeri perlu mempunyai perancangan yang bai katas aset pelancongan masing-masing lalu bekerjasama rapat untuk mewujudkan destinasi pelancongan berkualiti tinggi dan pakej-pakej yang akan menarik lebih ramai pelancong.