Sering Rasa Diprovok Intan Salleh, Izreen Nekad Teruskan Saman Bekas Madu

0
96
Foto: Beautifulnara

PETALING JAYA – Pelakon Izreen Azminda nekad meneruskan saman terhadap bekas madunya, Intan Salleh selepas sesi mediasi di Mahkamah Kuala Lumpur yang diadakan pada Isnin lalu gagal mencapai kata sepakat.

Menurut Izreen, 39, selepas sesi mediasi yang berlangsung selama enam jam, kedua-dua pihak masih tidak menemui sebarang penyelesaian.

“Kalau saya tidak mahu selesaikan perkara ini (saman) di luar, saya tidak akan ada di mahkamah pada Isnin lalu.

“Saya juga tidak akan hadir di mahkamah untuk selesaikan dengan dia, tetapi selepas perbincangan dibuat, kita masih belum nampak jalan itu (penyelesaian) sebab itulah pihak saya teruskan saman,” kata Izreen ketika dihubungi Kosmo! Online.

Tambah Izreen, pihaknya mahu meneruskan saman kerana percaya hanya mahkamah yang mampu menyelesaikan kemelut antaranya dengan Intan secara adil.

“Saya mahu selesaikan secara adil dan saksama supaya tidak ada percanggahan cerita, tokok tambah atau campur tangan daripada pihak kedua dan ketiga.

“Sebab itu, saya ambil jalan untuk ke mahkamah kerana jalan ini adalah yang sebaik-baiknya,” ujar Izreen.

Tambah Izreen, proses mediasi kedua bakal diadakan pada tarikh yang lain.

Sementara itu, dalam temu bual bersama sebuah program hiburan, peguam yang mewakili Izreen iaitu Muhammad Hafiz Hood berkata, proses mediasi bersama pihak Intan tidak berjalan dengan baik.

“Sebelum ini memang pernah buat perjumpaan antara saya dengan peguam defendan bagaimanapun kita teruskan dengan kes.

“Untuk hari ini (Isnin), ada beberapa yang kita sudah jumpa kata sepakat tetapi masih perlukan perincian lanjut. Itu masih belum diselesaikan dan perlu diberi masa kepada pihak defendan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika disoal tentang penarikan diri Ude Wahid atau Muhamad Radzi Abdul Wahid daripada kes, Izreen menjelaskan suaminya hanya menarik diri selaku plaintif tetapi kes masih diteruskan.

“Ude hanya tarik nama sebagai plaintif, tetapi dia tetap akan memberikan kerjasama jika diperlukan di mahkamah,” jelas Izreen.

Pelakon yang popular dengan drama Ahli Mesyuarat Tingkap itu membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Intan kerana mendakwa wanita itu kerap membuat provokasi dengan sengaja terhadap dirinya. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here