Thursday, April 25, 2024
HomeLUAR NEGARASerangan Darat Oleh Tentera Israel Akan Mula Dilancarkan

Serangan Darat Oleh Tentera Israel Akan Mula Dilancarkan

SEMENANJUNG GAZA: Israel mula melancarkan serangan darat di utara Gaza menyusuli serangan udara semalam, seminggu selepas serangan paling berdarah dalam sejarah wilayah itu.

Sehubungan itu, regim Zionis menggesa penduduk Palestin untuk meninggalkan kawasan itu sebelum serangan darat besar-besaran dilancarkan terhadap pejuang Hamas.

Menurut Berita Harian, rejim tentera Israel itu dalam kenyataan berkata, pasukan pertahanannya ditempatkan di seluruh kawasan dan meningkatkan kesediaan perang dengan penekanan pada operasi darat.

Ia menambah, ini akan termasuk serangan udara, laut dan darat dan meliputi ‘medan pertempuran yang diperluaskan’.

Pada Jumaat, tentera Israel menggesa rakyat Palestin meninggalkan kediaman dan menuju ke selatan.

Bagaimanapun, pejuang Hamas menasihatkan orang ramai supaya tidak keluar dan menyatakan jalan keluar tidak selamat apabila turut dibom oleh Israel.

Di kejiranan Tel Al-Hawa, Gaza, pesawat Israel dengan kejam mengebom kawasan perumahan pada waktu malam.

Bulan Sabit Merah Palestin berkata, ia telah menerima arahan Israel untuk mengosongkan hospital pada jam 4 petang, tetapi tidak akan berbuat demikian kerana mempunyai tugas kemanusiaan untuk terus memberikan perkhidmatan kepada orang yang sakit dan cedera.

Wartawan AFP berhampiran bandar Sderot di selatan Israel melihat tentera menembak ke arah kawasan yang padat penduduk sehingga menyebabkan kepulan asap hitam yang besar menjulang ke langit.

Dalam satu video yang dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kelihatan tegas melawat tentera di barisan hadapan sempadan berikutan jangkaan pencerobohan besar-besaran akan berlaku tidak lama lagi.

“Adakah anda bersedia untuk apa yang akan datang? Lebih banyak lagi akan datang,” katanya kepada beberapa askar Israel yang kemudiannya mengadakan rundingan keselamatan dengan menteri dalam Kabinet Perang.

Selepas seminggu pertempuran berlaku, lebih 1,500 penduduk Israel maut manakala di Gaza, pegawai kesihatan berkata, lebih 2,200 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam.

Selain itu, bekalan makanan, air, bahan api dan perubatan semakin berkurangan kerana sekatan Israel, sekali gus agensi bantuan memberi amaran mengenai krisis kemanusiaan yang akan berlaku.

Tentera Israel buat pertama kali berkata, mayat beberapa daripada berpuluh-puluh tebusan yang diculik oleh Hamas dalam serangannya sudah ditemui.

Sementara itu, dalam hubungan diplomatik, Arab Saudi mendesak gencatan senjata segera, manakala Amerika Syarikat (AS) menggesa China menggunakan pengaruh serantaunya untuk mendesak ketenangan dikembalikan.

Israel sudah melepaskan beribu-ribu peluru berpandu ke utara Gaza dan dilaporkan seorang komander Hamas, Ali Qadi, terbunuh dalam serangan udara.

Kira-kira 1.1 juta orang atau hampir separuh daripada 2.4 juta penduduk yang tinggal di utara Gaza yang disifatkan agensi bantuan sebagai mustahil untuk memaksa mereka berpindah ketika perang sedang melanda.

Sementara itu, jurucakap tentera Israel, Richard Hecht, menggesa orang awam di utara Gaza, tempat kepimpinan Hamas berpusat, supaya tidak berlengah lagi untuk keluar.

Beliau berkata, terdapat laluan selamat antara jam 10 pagi dan 4 petang, tetapi tidak menyatakan selama berapa hari ia akan terus dibuka.

Tinjauan mendapati masih ramai penduduk Gaza yang terperangkap kerana sekatan dikenakan oleh Israel dan Mesir, yang kelihatan mundar mandir tanpa haluan di jalanan bersama barangan milik mereka selepas lari dari kediaman masing-masing, lapor Berita Harian.

Sumber: Bertia Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Sheriff ‘Menang Besar’, Penonton Puas Hati Dengan ‘Plot Twist’

0
Penulis punya banyak perkara untuk dibentang tentang Sheriff arahan Syafiq Yusof dengan sedikit atau helaian muka surat terhad dalam ulasan filem minggu ini. Setakat tulisan ini diusaikan iaitu...

CATEGORIES