Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Prosiding Pendakwaan Lima Ahli Keluarga Suspek

0
43
Foto: Sinar Harian

JOHOR BAHRU – Prosiding pendakwaan lima ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu, agak tegang ketika tertuduh pertama berulang kali bertanyakan soalan kepada hakim.

Ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim itu, tertuduh Radin Imran Radin Mohd Yasin, 62, menyatakan tidak memahami pertuduhan pertama iaitu menggalak dan menanam fahaman ideologi keganasan yang berkait Islamic State (IS), dibacakan jurubahasa.

Hakim seterusnya memberitahu prosiding terbabit hanya pertuduhan dan kes akan dibicarakan di mahkamah selepas ini.

Namun, Radin Imran terus mengulangi tidak memahami pertuduhan ketika jurubahasa membacakan pertuduhan kedua berkaitan menyimpan senjata api.

Radin Imram: Saya tidak faham, saya tidak ada senjata api.

Che Wan Zaidi: Encik Radin ini hanya pertuduhan, pada perbicaraan penuh nanti encik boleh lantik mana-mana peguam yang encik mahu.

Radin Imran: Boleh saya bela diri sendiri ke?

Che Wan Zaidi: Boleh jika encik hendak bela diri sendiri.

Seterusnya, jurubahasa membacakan pertuduhan ketiga dan keempat berhubung memberi sokongan dan memiliki buku berkaitan IS, Radin Imran memahami dan mengaku tidak bersalah.

Prosiding kemudiannya diteruskan dengan pertuduhan ke atas tertuduh seterusnya iaitu Radin Romyullah Radin Imran, 34, dan Rosna Jantan, 59, dan Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah Radin Imran, 19.

Sebelum itu, kesemua tertuduh tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada jam 9.05 pagi dengan kawalan ketat anggota keselamatan dan keadaan hujan.

Prosiding di dalam kamar mahkamah yang berlangsung kira-kira 40 minit itu berakhir dengan hakim memerintahkan tiada jaminan dibenarkan terhadap kesemua tertuduh.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 31 Julai depan bagi pengurusan kes untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here