KUALA LANGAT – Seramai 16 lelaki termasuk dua warga China dicekup selepas terlibat dalam kes samun barangan kilang di Telok Panglima Garang di sini, baru-baru ini.
Kesemua suspek berusia 30 hingga 50 tahun tersebut diberkas kira-kira pukul 3.30 petang pada 9 November lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd. Sufian Amin berkata, penangkapan suspek-suspek tersebut susulan laporan dibuat seorang pengurus kilang kira-kira 2.30 petang hari sama selepas dimaklumkan pekerjanya mengenai kehadiran sekumpulan lelaki di kilang tersebut.
Katanya, kumpulan suspek tersebut telah bertindak merampas kepingan logam dan barangan lusuh milik kilang dan dimuatkan ke dalam lori yang dibawa suspek tersebut tanpa kebenaran.
“Kita juga berjaya merampas sepucuk pistol dan 20 butir peluru serta sebilah parang selain sebuah kereta dan lori digunakan semasa kejadian.
“Semakan mendapati lapan daripada suspek tersebut mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan kesemua suspek telah direman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenalpasti penglibatan kesemua suspek dalam kes tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.
Sumber – Kosmo! Online