Seorang Terselamat, Lapan Terbunuh Akibat Kebakaran Bangunan Pejabat Di Moscow

0
33

MOSCOW – Sekurang-kurangnya lapan orang dilaporkan terbunuh dalam kebakaran besar di sebuah bangunan pejabat berdekatan Moscow, menurut kenyataan Gabenor wilayah Andrey Vorobyov seperti yang dilaporkan oleh Perbadanan Penyiaran Britain semalam.

Beberapa pegawai kecemasan mengatakan hanya satu orang yang berjaya diselamatkan dari bangunan yang terbakar itu di Fryazino, kira-kira 25 kilometer ke utara Moscow.

Seramai dua orang dilaporkan terbunuh selepas terjun dari tingkap, sementara enam lagi meninggal dunia apabila ruang dalaman pejabat runtuh dalam kebakaran tersebut, demikian yang diungkapkan oleh Vorobyov di laman sosial.

Rakaman online memperlihatkan asap tebal yang memancar ke udara dari beberapa tingkat atas bangunan berlantai lapan tersebut.

Terdapat laporan yang bercanggah mengenai fungsi bangunan itu.

Bangunan tersebut sebelum ini digunakan sebagai Institut Penyelidikan dan Industri Pertahanan Platan, seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Tass.

Menurutnya, bangunan itu telah menjadi milik swasta sejak tahun 1990-an.

Bagaimanapun, media yang menentang kerajaan baru-baru ini melaporkan bahawa Platan telah beroperasi dari bangunan tersebut sejak tahun 2023.

Vorobyov menyatakan bahawa seorang lelaki berusia 34 tahun yang terluka parah telah dibawa ke hospital, sementara dua anggota bomba juga menerima rawatan untuk kecederaan mereka dalam kebakaran itu.

Perkhidmatan kecemasan tempatan menyatakan bahawa lelaki tersebut merupakan satu-satunya mangsa yang berjaya diselamatkan dalam bencana itu.

Menurut pihak berkuasa, lebih daripada 130 orang serta dua helikopter telah berusaha untuk memadamkan api yang berjaya dipadamkan menjelang pukul 8 malam waktu tempatan.

Punca kebakaran masih belum pasti tetapi seorang saksi memberitahu Tass bahawa api bermula di tingkat enam bangunan sebelum merebak.

Sebanyak 30 syarikat menyewa ruang pejabat di dalam bangunan tersebut dan nasib dua pekerja di dalam masih belum diketahui.

Pihak berkuasa telah memulakan siasatan jenayah berhubung kebakaran ini. – AGENSI

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here