Seorang Lelaki Rentung, Kereta Kemalangan Sebelum Terbakar

0
51
Foto: Utusan

Kulai: Lelaki rentung dalam kebakaran kereta selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 33.3, Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah Selatan, di sini, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.24 malam tadi.

Beliau berkata, enam anggota bomba bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat tiba di lokasi kejadian pada 11.53 malam.

Menurutnya, pasukan keluaran operasi mendapati kebakaran membabitkan sebuah Perodua Myvi yang musnah 80 peratus.

Katanya, seorang mangsa (pemandu) terperangkap di kenderaan berkenaan.

“Ia berpunca daripada kemalangan membabitkan tiga kenderaan lori termasuk treler Scania yang membawa muatan tanah dan sebuah Proton Iswara.

“Mangsa lain dikeluarkan orang awam sebelum anggota bomba tiba di lokasi kejadian.

“Mangsa yang rentung berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas dan diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, identiti lelaki yang rentung masih belum dikenal pasti, manakala seorang penumpang perempuan dewasa berusia 32 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia setahun menaiki Perodua Myvi berkenaan mengalami kecederaan.

Menurutnya, dua lelaki dewasa berusia 18 dan 22 tahun yang menaiki Proton Iswara mengalami kecederaan, serta seorang lelaki berusia 33 tahun iaitu pemandu treler, tidak mengalami kecederaan.

“Operasi tamat pada 2.09 pagi tadi,” katanya.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here