Seorang Lelaki Maut Dirempuh Kereta Ketika Bantu Perodua Terbabas

0
46
Foto: Berita Harian

KOTA TINGGI: Mohd Rafie Sofian Bordie, lelaki yang maut dilanggar pikap ketika sedang membantu mangsa kemalangan kelmarin, gemar membantu orang lain, termasuk yang tidak dikenali.

Demikian pandangan abangnya, Mohd Rais, 37, dan menambah, sikap murni arwah berusia 35 tahun yang maut dalam nahas di Kilometer 18.8 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, di sini, disanjung ramai.

“Adik memang suka tolong orang, yang tak kenal pun dia suka tolong. Sifatnya memang begitu, gemar membantu tanpa mengira siapa pun,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, Mohd Rafie dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Rengit dari Bandar Penawar dan berhenti untuk membantu pemandu Perodua Axia yang terbabas.

“Ada saksi beritahu arwah orang pertama membantu mengeluarkan pemandu Perodua Axia yang terbalik dan membawanya ke kawasan selamat. Namun mereka kembali semula ke kereta kerana pemandu Perodua Axia tertinggal telefon bimbitnya.

“Ketika pemandu masuk ke dalam kereta mencari telefon, adik berdiri di luar dan ketika itulah sebuah kenderaan lain melanggar adik. Sebelum itu arwah dikatakan sempat menasihatkan pemandu kereta supaya tidak berlengah kerana kawasan itu bahaya,” katanya.

Jenazah Mohd Rafie yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak anak berusia setahun hingga enam tahun disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Raja, Pengerang, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata mangsa maut dilanggar Mitsubishi Triton dipandu lelaki tempatan berumur 27 tahun dari arah Sungai Rengit.

Katanya, mangsa ketika itu berada berhampiran Perodua Axia yang sebelum kejadian dipercayai terbabas sendiri.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here