PETALING JAYA – Sebanyak 11.8 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya utama negara selama dua hari bermula hari ini hingga esok sempena cuti perayaan Deepavali.
Menerusi tinjauan Kosmo, peningkatan jumlah kenderaan itu dijangka berlaku susulan pengumuman kerajaan yang bersetuju memberikan tol percuma kepada semua pengguna lebuh raya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif pemberian tol yang bermula pukul 12.01 tengah malam tadi sehingga 11.59 malam esok adalah bagi meraikan rakyat
Malaysia terutamanya masyarakat kaum India beragama Hindu yang akan menyambut perayaan Deepavali esok.
“Ia juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Tambah Alexander, pemilihan tarikh tersebut bertujuan untuk mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar dengan anggaran jumlah trafik pada dua hari itu adalah sebanyak 11.8 juta kenderaan.
“Ia juga dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan, seperti pengurusan kawalan trafik, sumber air tambahan, penyediaan tandas dan keperluan logistik.
“Ia membabitkan pihak ketiga di kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat & Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya.
“Dengan pelaksanaan tol percuma, diharapkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini selain merancang perjalanan dengan sebaiknya,” katanya.
Tambah Alexander, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan.
“Aspek keselamatan serta pemanduan selamat perlu dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat tiba ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Deepavali ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta,” katanya.
Menurut Kosmo, kerajaan sebelum ini mengumumkan pemberian tol percuma kepada semua kenderaan sempena Tahun Baharu Cina pada 20 dan 21 Januari lalu.
Pada sambutan Aidilfitri pula, kerajaan turut melaksanakan pemberian Tol Rahmah Percuma selama empat hari.
Dalam perkembangan lain, ANIH Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 692,000 kenderaan bakal menggunakan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) sempena Deepavali iaitu peningkatan sebanyak 73 peratus daripada jumlah purata trafik harian biasa.
Tambahnya, jumlah aliran trafik di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) pula dijangka sebanyak 284,000, bersamaan peningkatan peratusan sebanyak 58 peratus daripada kebiasaan.
Pengguna lebuh raya boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemas kini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMtrafik secara berkala.
Selain itu, pengguna juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan.
Sebelum ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan dua juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuh Utara Selatan (PLUS), manakala Kuala Lumpur-Karak sebanyak 173,000 kenderaan, Pantai Timur Fasa 1 (71,000) dan Pantai Timur Fasa 2 (50,000) sempena cuti perayaan Deepavali.
Tiga lebuh raya utama negara itu akan menerima peningkatan trafik berikutan pertambahan aliran keluar kenderaan dari ibu kota dan Lembah Klang menuju ke arah Pantai Timur, Utara dan Selatan bermula semalam.
Sumber: Kosmo