Semak Dahulu Sebelum Tekan Link Dari Kenalan Di Telegram

0
442
Foto: Soya Cincau BM

Ipoh: Awas jika anda menerima pesanan Telegram mencurigakan dari kenalan, keluarga atau saudara mara, kerana aplikasi itu terdedah kepada jenayah penipuan, ‘Telegram Takeover’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak, Superintendan Hasbullah Abd Rahman berkata, penipuan melalui penggodaman aplikasi Telegram kini sering berlaku dengan penggodam melakukan pelbagai modus operandi (MO).

“Jika sebelum ini MO penipu ialah dengan menyamar sebagai rakan atau saudara mara yang kononnya mahu meminjam wang, namun MO mereka kini (mungkin penggodam yang sama) akan memasukkan talian pengguna ke dalam kumpulan pelaburan tidak wujud atau berkongsi link yang membawa kepada kecurian wang dalam akaun bank,” katanya ditemui Bernama di pejabatnya di sini.

Hasbullah berkata, melalui aduan yang diterima pihaknya sebelum ini, terdapat mangsa datang membuat laporan kononnya rakannya mahu meminjam wang melalui Telegram dan dia telah memindahkan sejumlah wang melalui transaksi secara dalam talian.

“Namun, apabila dia bertemu rakannya, rakannya itu menafikan dan kedua-duanya membuat laporan polis, ternyata mereka telah menjadi mangsa penggodaman Telegram,” katanya menambah bahawa Perak merekodkan sebanyak 54 kes bagi tahun 2022 sehingga 2023 dengan jumlah kerugian RM134,959.01.

Hasbullah turut menasihatkan pengguna mengenai tanda-tanda Telegram mereka sedang digodam iaitu termasuk akaun tidak dapat diakses, video, mesej dan gambar dihantar ke kontak lain tanpa pengetahuan, Telegram meminta perincian setiap kali log masuk akaun dan mendapat SMS ataupun ‘notification’ yang akaun diakses dari peralatan lain.

“Jika ini berlaku, pengguna perlu set semula dengan menetapkan langkah keselamatan seperti two step verification, menggunakan kod pin atau cap jari.

“Ini kerana jika kita terus ‘uninstall’ Telegram’ itu dari telefon pintar dan membiarkan penipu terus menggunakan akaun kita sewenang-wenangnya, mungkin ia akan memberi masalah kepada kita atau lebih ramai yang akan tertipu, langkahnya ialah terus gunakan namun ambil langkah keselamatan lebih ketat seperti disediakan aplikasi tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pengguna juga perlu log keluar jika membukanya dengan alat komunikasi lain dan tidak mendedahkan kod OTP Telegram dan reset atau nyahaktif akaun jika mengenal pasti akaun telah melakukan aktiviti mencurigakan.

Pengguna juga perlu melaporkan kepada polis jika penggodaman Telegram membabitkan wang dan nyawa, katanya.

Mengulas lanjut, selain menyamar sebagai rakan atau saudara-mara, penipu akan menambah nombor atau akaun Telegram mangsa ke dalam kumpulan ‘pelaburan’ untuk penipuan atau berkongsi link palsu kononnya untuk mendapatkan bantuan kerajaan dan sebagainya.

“Jangan sesekali menekan link tersebut kerana, penipu berkongsi pautan fail APK (android package kit) tidak sah bagi tujuan ‘mencuri’ wang di dalam akaun.

“Mangsa akan diminta mengemas kini maklumat peribadi di link yang telah dimuat turun, seterusnya page error akan terpapar dan duit dalam akaun bank akan lesap,” katanya sambil menasihati pengguna agar berhati-hati dengan penipuan penjualan emas secara dalam talian.

Katanya, barang kemas akan diiklankan di dalam Facebook, Instagram, Telegram dengan tujuan menarik perhatian mangsa dan mangsa seterusnya akan dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp atau Telegram.

“Mangsa akan diminta memasukkan wang ke dalam akaun suspek bagi proses pembelian emas, namun mangsa tidak menerima sebarang emas yang dibeli dan suspek kemudian gagal dihubungi,” katanya menambah Perak merekodkan 199 kes tipu pembelian emas secara dalam talian dengan jumlah kerugian RM1,004,234.81 bagi tempoh 2019 sehingga 2023.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here