PETALING JAYA, 4 November- Orang ramai yang berhasrat untuk menunaikan umrah perlu terlebih dahulu menyemak latar belakang agensi pilihan di platform yang disediakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia bagi mengelak daripada terpedaya dengan sebarang iklan pakej umrah yang menawarkan kadar harga terlalu murah.
Beliau berkata pengguna perlu lebih peka, kerana ada tawaran yang terlalu murah, seperti contoh RM4,000.
“Logiknya, kadar itu tak mampu pun nak tampung kos tiket penerbangan, kos lojing, kos di Makkah, lawatan ke Madinah dan lain-lain kos sampingan sepanjang tempoh menunaikan umrah itu.
“Biarpun perihal ini di bawah bidang kuasa MOTAC, tapi saya sentiasa menasihati bagi tujuan meningkatkan kesedaran kepada orang ramai berkaitan isu tipu umrah ini,” katanya.
Na’im memberi reaksi terhadap satu video tular di aplikasi TikTok yang membongkar penipuan sebuah syarikat menawarkan pakej umrah kepada penduduk di kawasan kampung.
Beliau pada masa sama menasihati mana-mana individu yang menjadi mangsa tipu syarikat mahupun agensi yang menawarkan pakej umrah agar menyimpan segala bukti transaksi dan perjanjian selain membuat laporan polis.