Kuala Lumpur, 30 September 2024 – Suruhanjaya Syarikat
Malaysia (SSM) hari ini menganjurkan Program Usahawan Muda
(PUM24) peringkat Negeri Melaka dan Muar melibatkan penyertaan
lebih 3,000 pelajar daripada institusi pengajian tinggi sekitar
negeri-negeri berkenaan.
Program dalam talian yang dirasmikan oleh Datuk Nor Azimah
Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM ini bertujuan
memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai
pengurusan sesebuah perniagaan, di samping menyemai minat
dan menerapkan nilai-nilai keusahawanan dalam diri peserta.
Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Nor Azimah berkata PUM24
merupakan inisiatif SSM untuk memupuk dan memperkasakan
penglibatan pelajar dalam bidang perniagaan selari dengan visi
SSM untuk menjadi pendaftar dan pengawal selia korporat
terulung.
Beliau juga mendedahkan bahawa SSM telah menganjurkan PUM
sejak tahun 2021 dengan penglibatan lebih 15,000 pelajar dari
Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Institut Latihan
Kemahiran Awam serta Pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal &
Vokasional seluruh negara.
Dalam pada itu, Datuk Nor Azimah turut berkata melalui
pelaksanaan PUM24 peringkat negeri Melaka dan Muar ini, SSM
juga membuka peluang kepada peserta untuk memanfaatkan Skim
Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) yang diperkenalkan bagi
memberi kemudahan pendaftaran perniagaan secara percuma
kepada golongan usahawan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa.
Tambahnya, dari 1 Januari 2021 hingga 31 Ogos 2024, jumlah
pendaftaran perniagaan yang berjaya didaftarkan secara percuma
melalui SPPP adalah sebanyak 128,116 yang terdiri daripada
59,857 pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sepenuh
masa dan 68,259 usahawan kumpulan B40.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSM Customer Care
(SSMCC) di bahagian Aduan & Maklum Balas, SSM Chatbot, Live
Chat SSM di portal rasmi SSM, talian 03-7721 4000, atau emel
enquiry@ssm.com.my.