Selidik Dahulu Sebelum Boikot, Jangan Tuduh Melulu – Ella

0
53
Foto: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Bahang gerakan Blockout 2024 yang dimulakan di Barat kini menular ke Malaysia apabila netizen memulaukan selebriti tempatan susulan membisu mengenai penindasan rejim Zionis terhadap Palestin.

Kempen digerakkan bintang TikTok, ladyfromtheoutside itu bukan sahaja tersebar luas di seluruh dunia, malah menunjukkan gelombang besar apabila jumlah tontonan, tanda suka dan komen dalam media sosial serta platform penstriman milik selebriti merosot atau hilang, susulan sikap tidak sensitif dan ambil peduli.

Bagaimanapun, objektif atau misi gerakan itu semakin tersasar apabila netizen bertindak keterlaluan apabila mengeluarkan perkataan kesat, maki hamun dan ugutan bunuh bukan sahaja kepada selebriti, malah anggota keluarga mereka.

Kecewa dengan apa yang berlaku, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi meminta netizen bersikap rasional dan tidak mudah menjatuhkan hukuman kepada selebriti tanah air yang namanya berada dalam senarai gerakan Blockout 2024 seperti yang tular.

“Saya tiada masalah jika ada mahu memboikot kerana ia adalah hak individu. Namun, saya harap netizen tidak pukul rata dan perlu selidik terlebih dulu sebelum mengambil tindakan.

“Tak perlu sampai nak ungkit video atau foto lama yang memaparkan selebriti pernah menjadi duta produk atau jenama didakwa pro-Israel.

“Mungkin mereka tidak tahu produk atau jenama yang diwakili itu pro-Israel.

“Perkara ini juga ada kaitan dengan periuk nasi selebriti. Ada yang terikat dengan kontrak, jadi perlu menjalankan tugasan seperti dipertanggungjawabkan.

“Takkanlah sewenang-wenangnya nak tamatkan kontrak semata-mata atas desakan netizen.

“Siapa nak bayar saman bila mereka bertindak langgar kontrak,” tegas Zed kepada BH Online.

Simpati nasib menimpa selebriti yang menjadi mangsa buli siber susulan gerakan Blackout 2024, Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Jamil meminta selebriti membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Nak boikot, boikotlah, tapi buat secara profesional. Jangan sampai tahap membuli atau mengugut bunuh, perbuatan ini sangat melampau dan boleh menjejaskan aspek keselamatan serta kesihatan mental.

“Justeru, saya menyeru kepada selebriti yang terkesan dari segi keselamatan diri dan emosi membuat laporan polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Bagi pengarah prolifik, Shahrulezad Mohameddin atau Ezad, mereka yang menjalankan kempen perlu memastikan misi dan objektif tercapai mengikut jalan betul tanpa perlu dipengaruhi emosi serta perasaan amarah.

“Saya melihat gerakan ini sudah tahap keterlaluan. Dalam agama Islam, kita tak disuruh jadi seperti ini.

“Kalau nak boikot, buatlah secara berhemah, tersusun dan berdisiplin. Tak perlulah sampai nak pecah-belahkan ummah.

“Saya percaya tak kiralah selebriti, orang biasa, golongan liberal atau tidak, saya setuju dengan apa yang berlaku di sana.

“Apa yang penting, mesej yang cuba disampaikan diterima,” tegasnya.

Dalam pada itu, pengarah dan penerbit drama rantaian Khunsa itu turut mempertahankan selebriti yang namanya dalam senarai dipulaukan kerana memahami situasi berlaku.

“Netizen kena faham, dunia hiburan tempatan tidak sebesar Hollywood. Tidak semua artis kerap dapat tawaran berlakon.

“Ada juga punca rezeki dengan menjadi duta produk atau jenama antarabangsa yang didakwa pro-Israel.

“Mereka mungkin tidak boleh terlalu terbuka bercakap mengenai isu Palestin, namun ada cara tersendiri untuk alihkan rasa bersalah dengan membuat sedekah atau infak kepada pertubuhan tertentu,” ungkapnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shahrulezad mengingatkan selebriti lebih peka dan sensitif dengan isu berkaitan Palestin kerana mereka mempunyai pengaruh besar dan suara yang didengari.

“Jangan sampai tak ambil kisah konflik di Palestin. Kalau boleh, sesekali muat naik hantaran supaya tidak dianggap enggan ambil peduli dan hanya mementingkan wang serta popular semata-mata,” ujarnya.

Sementara itu, Ratu Rock, Ella menggesa pengguna media sosial tidak membuat tuduhan melulu terhadap mana-mana selebriti tempatan diancam boikot dalam kempen Blockout 2024.

Pemilik nama sebenar Nor Zila Aminuddin itu berkata, warga netizen wajar menyelidik kesahihan sama ada selebriti yang ingin disekat dalam media sosial itu benar-benar terbabit mempromosi produk jenama pro-Israel mahupun berdiam diri berhubung penderitaan Gaza yang berdepan kekejaman Zionis.

“Sebelum lemparkan tuduhan artis tidak mempedulikan Palestin, kita kena selidik dulu.

“Bagi saya, mungkin segelintir mereka mempunyai sebab tersendiri kenapa tidak bersuara isu Palestin,” katanya

Bahkan, tegas penyanyi Sembilu itu, jika seseorang selebriti tidak berkongsi hebahan mengenai kesengsaraan dideritai Palestin dalam media sosial tidak semestinya bermaksud tidak prihatin dengan pergolakan berlaku.

“Mungkin selebriti ini mempunyai cara tersendiri untuk berkongsi keprihatinan mereka.

“Saya sendiri misalnya mendedikasikan keseluruhan persembahan konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota di Pulau Pinang sebagai memperingati situasi di Palestin,” ujarnya.

Antara nama selebriti tempatan tersenarai dalam gerakan Blockout 2024 termasuklah Mira Filzah, Daiyan Trisha, Neelofa, Scha Alyahya, Awal Ashaari, Anna Jobling, Meerqeen, Datin Intan Najuwa, Sheila Rusly, Eyka Farhana, Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Nabila Razali, Janna Nick dan Ruhainies.

Gerakan bermula di pertunjukan fesyen Met Gala 2024 di New York pada 6 Mei lalu sebagai bantahan terhadap selebriti yang membisu mengenai penindasan Zionis terhadap Palestin.

Disebabkan gerakan itu, bintang realiti, Kim Kardashian hilang tiga juta pengikut media sosial, diikuti Blackpink, Taylor Swift dan Selena Gomez.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here