BEIJING – Lebih 100,000 orang telah dipindahkan akibat hujan lebat yang melanda wilayah Guangdong sejak beberapa hari lalu, menakala pemerintah mengeluarkan amaran hujan beserta ribut peringkat bahaya bagi kawasan yang terjejas di selatan China.
“Pada hari Selasa (hari ini), bandar Shenzhen adalah antara kawasan yang mengalami hujan lebat hingga sangat lebat,” kata balai cerap meteorologi bandar.
Beberapa imej dari bandar Qingyuan menunjukkan sebuah bangunan hampir ditenggelami air sepenuhnya di taman yang bersebelahan sungai di utara Guangdong.
Media rasmi melaporkan bahawa lebih 45,000 orang telah dipindahkan dari Qingyuan dengan melintasi anak Sungai Bei.
Agensi berita Xinhua melaporkan, 110,000 penduduk di seluruh Guangdong telah dipindahkan sejak hujan lebat bermula pada hujung minggu lalu sambil menambah, empat orang meninggal dunia dan 10 masih hilang.
Pihak berkuasa meminta penduduk agar sentiasa peka dan mengambil langkah berjaga-jaga serta menjauhi kawasan berbahaya seperti kawasan rendah yang terdedah kepada banjir. – AFP
Sumber: Kosmo