Selangor, KL, Putrajaya Diramal Hujan Lebat Hingga 5 Petang

0
44
Foto: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Hujan lebat, ribut petir beserta angin kencang diramal membadai ibu kota dan Putrajaya selain enam negeri lain sehingga jam 5 petang ini.

Selain seluruh Negeri Sembilan, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam hantaran di Facebook berkata, keadaan cuaca itu diramal berlaku di Pahang membabitkan kawasan Raub, Bentong, Bera dan Rompin.

Katanya, ribut petir dan angin kencang juga diramal di Selangor membabitkan Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang manakala di Johor membabitkan daerah Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.

“Di Sarawak pula, cuaca sama diramal melanda Kuching, Serian (Serian), Samarahan (Samarahan dan Simunjan), Sri Aman, Sibu (Selangau), Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Kapit (Kapit), Bintulu (Tatau dan Sebauh), Miri dan Limbang.

“Di Sabah, hujan lebat dan ribut petir diramal membadai beberapa kawasan pedalaman termasukSipitang, Kuala Penyu dan Beaufort, Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) dan Sandakan (Kinabatangan),” katanya menurut hantaran itu.

METMalaysia memaklumkan, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mililiter (mm) bagi setiap jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here