PUTRAJAYA, 28 Oktober- Selangor mencatatkan kes keganasan rumah tangga tertinggi dengan merekodkan 4,690 kes berbanding negeri lain di seluruh negara bagi tempoh 2020 hingga Ogos 2023.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Aiman Athirah Sabu berkata jumlah itu adalah berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan di seluruh negara ialah 22,908 kes.
“Terdapat peningkatan kes yang tinggi pada 2021 iaitu 7,468 kes, berbanding 2020 yang mencatatkan 5,260 kes, manakala bagi 2022, jumlah kes keganasan rumah tangga masih tinggi, walaupun menunjukkan sedikit penurunan kepada 6,540 kes,” katanya.
Jelasnya, bagi menangani perkara tersebut, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menubuhkan Skuad WAJA pada 2021, yang sehingga kini telah merekodkan penyertaan 328,558 ahli, yang terdiri daripada 253,973 ahli wanita dan 74,585 ahli lelaki.
“Skuad WAJA bertindak sebagai ejen perubahan bagi menangani keganasan terhadap wanita dalam komuniti serta membantu membina sebuah masyarakat yang saling membantu serta menyemai keharmonian,” katanya sambil menambah ahli Skuad WAJA di Selangor ialah 26,910 orang.
“Sebanyak 1,012 program psikososial Skuad WAJA telah dijalankan dalam komuniti di seluruh negara, dengan 72,942 orang telah disantuni.
Beliau berakta daripada jumlah tersebut, sebanyak 104 program psikososial telah dijalankan melibatkan 12,506 orang yang disantuni di Selangor.