“Selamat Tinggal Wahai Anakku, Hafiz Fauzan – Bapa Arwah

0
126

JOHOR BAHRU – Suasana pilu menyelubungi pengkebumian jenazah Hafiz Fauzan, 17, pelajar yang dilaporkan hilang sejak 26 Mei lalu apabila bapanya memberi penghormatan terakhir membaca talkin sebagai tanda kasih anaknya yang dijemput Ilahi buat selamanya.

Abd Halid Sugiman, 44, dengan nada tenang mengucapkan selamat tinggal buat selamanya dan mendoakan roh anak ketiganya daripada tujuh beradik itu tenang serta dicucuri rahmat.

“Selamat tinggal wahai anakku, Hafiz Fauzan bersemadilah engkau dengan tenang disisi Allah SWT,”ucapnya ketika membaca talkin ketika pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam, Batu 7, Tongkang Pechah di sini semalam.

Ungkapan pilu mengundang sebak dalam kalangan saudara-mara dan kenalan yang hadir memberi penghormatan terakhir dalam upacara pengkebumian pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama (SMA) Parit Raja.

Dalam pada itu, Abd. Halid yang juga guru agama Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Dayung berkata, perasaan rindu dan kasih tidak akan pernah hilang biarpun jasad Hafiz Fauzan sudah tiada di depan mata.

“Pencarian selama sebulan (kehilangan Hafiz Fauzan) telah ditemukan biarpun jasad sudah tiada tapi perasaan rindu dan kasih tak pernah kurang pun.

“Alhamdulillah dia pergi dengan baik, dia juga seorang anak yang baik untuk kami sekeluarga dan mudah-mudahan dia ditempatkan dalam kalangan hamba yang soleh,”katanya.

Bapa kepada tujuh cahaya mata itu berkata, antara kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika Hafiz Fauzan memenangi tempat ketiga dalam acara sukan merentas desa awal tahun ini.

“Katanya selepas dia (Hafiz Fauzan) menang, dia terus naik ke bilik guru jumpa saya dan guru-gurunya yang lain untuk memberitahu dia menang acara itu.

“Memang dia seorang yang suka bersukan, dia juga minat main bola dan selalu saya bawa dia dan bawa penaja untuk dia main bola,”katanya.

Jenazah Allaryarham Hafiz Fauzan selamat dikebumikan kira-kira pukul 12.15 tengah hari yang dihadiri lebih 100 orang terdiri daripada saudara terdekat, kenalan serta penduduk kampung.

Terdahulu, jenazah Hafiz Fauzan dituntut ahli keluarga kira-kira pukul 10.30 pagi sebelum dibawa ke Surau Al-Mujahirin Bandar Putera Indah, Tongkang Pechah di sini untuk disembahyangkan.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, identiti rangka manusia yang ditemui di dalam semak kebun durian di Jalan Muar-Yong Peng, bersebelahan Kompleks Penghulu Mukim Linau di sini bulan lalu dikenal pasti milik Hafiz Fauzan, 17.

Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mendapati ia sepadan dengan ibu bapanya melalui sampel diambil pada hari penemuan rangka di Jalan Yong Peng-Muar, pada 24 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here