Gurun: “Pada mulanya saya terlihat sekumpulan burung bangau terbang berlegar menongkah arus angin kencang. Namun tidak lama kemudian bumbung rumah saya turut diterbangkan ribut,” ujar mangsa, Azhar Ali, 48.
Dia yang menetap di Kampung Batu Lapan, di sini, mendakwa hanya tergamam apabila angin kencang menerbangkan bumbung rumahnya dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam.
Katanya, kejadian itu menyebabkan peralatan elektrik serta perabot di rumahnya rosak akibat dimasuki air hujan yang berlaku mendadak.
“Saya tidak pernah berdepan dengan kejadian ribut sebegini. Kejadian semalam membuatkan saya terkejut, barang elektrik seperti peti sejuk dan gerudi simen rosak akibat kejadian itu,” katanya.
Azhar adalah antara sembilan rumah termasuk Dewan Masjid Al Naim di Kampung Batu Sembilan di sini, yang mengalami kerosakan akibat kejadian angin kencang petang semalam.
Seorang lagi mangsa, Fauziah Hanafi, 65, berkata, dia terpaksa melaungkan azan selepas melihat ribut menerbangkan 12 keping atap di rumahnya.
“Saya hanya tinggal bersama suami Mat Daee, 82, yang sudah uzur. Ketika kejadian, saya dengar bunyi angin yang sangat kuat sebelum ia mengangkat atap zink pada bahagian bumbung depan rumah.
“Muju lah angin kencang itu cepat berlalu selepas saya melaungkan azan,” katanya yang bekerja sebagai penoreh getah.
Sumber: Harian Metro