PETALING JAYA – Elakkan sebarang perkongsian mengenai diri, terutamanya tentang perkembangan kesihatan di media sosial sekiranya terkena sihir.
Berdasarkan Kosmo, pengacara dan penulis lirik, Ahmad Fedtri Yahya berkata, perkongsian tersebut mungkin akan membawa lebih banyak keburukan, lebih-lebih lagi jika si penghantar sihir sedang ‘memantau’.
“Biasanya sihir ini, dihantar oleh orang yang dekat dengan kita disebabkan ada rasa dengki, cemburu atau sakit hati.
“Bila orang yang rapat dan kenal kita ini lihat ada perkembangan tertentu, janganlah tunjuk kita sudah bertambah baik,” ulasnya.
Menurut Kosmo, tambah Ahmad Fedtri, perkara dikhuatiri menjadi semakin serius sekiranya orang yang terkena sihir tersebut gemar membuat hantaran di laman sosial masing-masing.
“Orang yang menghantar sihir selalunya hendak lihat kita jatuh. Jadi jangan update kita pergi berubat atau bertambah baik.
“Nanti orang (yang menghantar sihir) akan jadi sakit hati. Kalau boleh, kita rahsiakanlah segala apa yang berlaku sepanjang proses pemulihan,” katanya.
Menurut Ahmad Fedtri, teruskan memohon kepada Allah SWT dan meminta kesembuhan daripadaNya.
“Tentang orang (yang menghantar sihir), biar Allah sahaja yang membalasnya.
“Kalau kita balas dengan sihir juga sudah jatuh syirik,” katanya.
Sumber: Kosmo