Sinonim dengan filem aksi persilatan sejak menceburi bidang lakonan tidak menjadikan Fad Anuar atau Fad, 35, kekal selesa dengan genre ini semata-mata.
Sebaliknya, Fad melahirkan keinginan bergelar pelakon versatil menampilkan pelbagai watak termasuk komedi.
“Filem aksi dah dikira tipikal saya, namun saya sebenarnya minat juga komedi tapi tak berpeluang. Saya berminat jika ditawarkan berlakon komedi seperti dilakukan oleh Stephen Chow.
“Dia dikenali sebagai pelakon komedi aksi. Dia ada unsur komedi dan dia ada aksi. Bila babak aksi dia buat aksi betul-betul. Bila selitkan komedi, dia jadi komedi betul-betul. Saya nak buat begini tapi belum ada rezeki lagi.
“Namun jika saya berlakon filem ataupun drama, saya cuba untuk menyelitkan emosi komedi itu sendiri. Saya akan minta pada pengarah untuk menyelitkan komedi,” katanya.
Fad yang sebelum ini muncul dalam pelbagai filem antaranya Geran, Walid, Takluk: Lahad Datu dan Pungut mengakui sebagai pelakon dia perlu ada semua emosi apabila ditawarkan sesuatu watak.
“Apa sahaja watak yang ditawarkan kepada saya insya-Allah saya teruja untuk melakonkannya. Mungkin setakat hari ini rezeki saya hanya pada watak aksi.
“Saya pasti tidak akan menolak jika saya keluar dari kepompong aksi. Ya, memang sebenarnya untuk berlakon dalam filem ataupun genre aksi itu sendiri sememangnya adalah satu kebiasaan untuk saya.
“Maksudnya pengalaman untuk aksi sudah ada. Bagi saya untuk setiap watak aksi itu sendiri, ia berbeza dengan watak-watak kerja dalam filem sebelumnya,” katanya.
Menurutnya, biarpun berkali-kali diberikan watak serupa, cabarannya tetap berbeza padanya.
“Jangan kita menganggap bahawa bila selalu buat aksi sahaja, mesti boleh buat. Tidak, kerana setiap filem saya berbeza contohnya filem Geran dan Pungut.
“Dalam Pungut saya tampil kelainan bawa loghat utara. Saya orang Terengganu tapi berjaya ubah persepsi sehinggakan orang anggap saya orang utara.
“Ada yang tak percayakan sehingga saya tunjuk kad pengenalan saya, baru mereka percaya. Dan pada yang belum tahu, saya memang bermula dengan koreografer aksi dan lagak ngeri pertarungan,” katanya.
Fad pernah mengajar beberapa orang pelakon dan selepas itu baru terbabit dalam lakonan sehingga kini.
“Bila bercakap berkenaan aksi, saya pasti akan ditanya berkenaan kecederaan. Ya saya akan menilai risiko yang bakal diambil pada setiap babak.
“Jika babak itu saya rasa mampu untuk buat seratus peratus, saya akan buat. Jika berisiko, saya akan serahkan kepada lagak ngeri. Syukur saya belum ada kecederaan parah.
“Setakat lebam sedikit memang ada. Untuk projek terbaru pula, saya akan terbabit dengan filem berkenaan sejarah arahan pengarah terkenal. Ada sedikit babak aksi tapi ia masih kena dirahsiakan,” katanya.
Lakonan terbaru Fad kini dapat ditonton menerusi filem Mereka Yang Tertewas arahan Datuk Zulkifli M. Osman yang diadaptasi dari novel karya Hasanuddin Md Isa.
“Filem ini menjadi teks sastera sekolah menengah pada tahun 1988, di mana ketika itu saya masih lagi kecil, baru saja lahir. Barisan pemain filem ini adalah orang-orang lama.
“Hujung 80-an dan awal 90-an dikira agak jauh dengan saya. Jadi saya buat beberapa penyelidikan dan kajian berkenaan era itu. Bertanya, melihat menonton, dan membaca.
“Saya buat kajian untuk mengenali seorang bernama Kidam yang dilakonkan saya. Menerusi perbincangan dengan abang Zul, saya ambil Kidam ikut cara sendiri,” katanya.
Fad juga berbangga kerana berlakon dengan pelakon senior seperti Zaidi Omar, Mubarak Majid, Hilal Azman, Sherie Merlis dan Fiza Halim dalam filem ini sekali gus menjadi pengalaman berharga buatnya.
Sumber – Harian Metro