Sebuah Kereta ‘Kantoi’ Ubah Suai Kenderaan Dilengkapi Tangki Bahan Api

0
39
Foto: Buletin TV3

PADANG BESAR: Sindiket penyeludupan diesel dan petrol subsidi di Perlis sanggup mengubah suai bahagian bawah tempat duduk dalam kereta untuk dilengkapi tangki bahan api tambahan, meskipun menyedari risiko kebakaran atau letupan.

Taktik itu terbongkar selepas pemeriksaan dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ke atas sebuah teksi dengan nombor pendaftaran negara jiran dipandu lelaki warga Thailand berusia 53 tahun yang ditahan ketika cuba melepasi Laluan Eksport di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) di sini, pada 5 Jun lalu.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata pemeriksaan awal tidak mengesan apa-apa yang mencurigakan pada teksi itu, namun segalanya terbongkar apabila bahagian belakang kenderaan diperiksa.

“Ketika itu kami mengesan bahagian bawah tempat duduk penumpang belakang diubahsuai dan dipasang tangki tambahan untuk mengisi bahan api sebelum ia diseludup ke negara jiran.

“Ketika ditahan, tangki itu berisi 80 liter petrol bersubsidi dengan nilai sekitar RM164. Namun kerisauan kami adalah tindakan penyeludup itu sangat berisiko kerana mampu mencetuskan kebakaran bukan hanya pada pemandu tetapi penumpang teksi.

“Kita kemudian menahan lelaki terbabit dan serta menyita teksi yang dianggarkan bernilai RM30,000,’ katanya kepada pemberita di Stor Penguatkuasaan JKDM Padang Besar, di sini hari ini.

Beliau berkata, kes itu adalah sebahagian daripada 12 cubaan menyeludup diesel dan petrol bersubsidi yang dipatahkan pihaknya sepanjang tempoh antara 27 Mei hingga 10 Jun lalu melalui Operasi Khas Bersepadu Diesel Bersubsidi 2024 dijalankan.

Dalam operasi itu lapan warga Thailand termasuk tiga wanita berusia antara 31 hingga 53 tahun.

“Kita turut menyita treler dipandu lelaki warga Thailand di mana kita menemui 600 liter diesel bersubsidi dalam satu kompartmen di belakang kepala kenderaan itu yang diubahsuai menjadi tangki tambahan,” katanya.

Ismail berkata pihaknya percaya wujud pembelian berulang dalam kalangan anggota sindiket, namun masih menyiasat kaitan antara semua suspek dalam kes yang dipatahkan itu.

“Anggota sindiket tidak segan silu menggunakan laluan Kompleks ICQs dengan pelbagai taktik digunakan mengaburi penguat kuasa terutama menggunakan tangki diubah suai untuk menjarah hasil bahan api negara ini,” katanya.

Semua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Sumber: Buletin TV3

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here