Sebanyak 2.4 Juta Kenderaan Dianggarkan Guna Lebuh Raya Bermula Esok

0
66
Foto: mStar

PETALING JAYA – Sebanyak 2.4 juta kenderaan sehari dijangka akan menggunakan lebuh raya pada hari-hari puncak sempena perayaan Tahun Baharu Cina bermula 8 Februari (esok).

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir. Sazali Harun berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1.5 juta kenderaan akan menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan.

Manakala jelasnya, masing-masing 199,000, 106,000 dan 61,000 kenderaan dijangka akan menggunakan Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak (KLK), Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa 2.

“LLM menjangkakan akan berlaku peningkatan jumlah trafik yang menggunakan lebuh raya menuju ke arah Pantai Timur, utara dan selatan seawal hari Khamis 8 Februari 2024.

“Bagi mendepani peningkatan trafik, LLM telah mengarahkan kesemua Syarikat Konsesi Lebuh Raya untuk melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna lebuh raya adalah selamat dan lancar sepanjang tempoh berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, langkah-langkah tersebut termasuk, syarikat konsesi lebuh raya tidak dibenarkan melaksanakan sebarang penutupan lorong kecuali bagi kes dan kerja kecemasan bermula pada 5 Februari 2024 hingga 14 Februari 2024.

Seterusnya, mengaktifkan laluan ‘smart lane’ di lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti.

“Sentiasa memastikan pengoperasian lebuh raya dalam keadaan baik dan semua kemudahan dapat berfungsi sepanjang tempoh tersebut terutamanya di kawasan rehat dan rawat (RNR) serta hentian sebelah demi keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here