LIPIS – Seorang suri rumah tidak menyangka ketulan pada payudara merupakan petanda dia menghidap kanser sekali gus mengubah kehidupan hariannya.
Lebih mengejutkan, Nurul Najwa Bahari, 32, disahkan menghidap barah payudara tahap empat pada Disember lalu.
Katanya, dia mula berasa sakit pada Januari 2023 sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lipis pada Julai lalu.
“Pada awalnya saya sangka hanya ketulan (bengkak) susu, tetapi hasil imbasan tomografi berkomputer menunjukkan saya menghidap kanser payudara.
“Lebih perit lagi, sel kanser sudah merebak ke tulang, paru-paru dan hati. Ia menyebabkan kaki kiri sakit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Lanar di sini baru-baru ini.
Ibu tiga anak itu memberitahu, dia perlu berulang-alik setiap tiga minggu ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk menjalani rawatan kemoterapi.
Suaminya, Mohd. Nor Hafiz Johari, 37, yang sebelum ini bekerja penyelia terpaksa mengambil cuti tanpa gaji bagi menguruskan keperluannya dan anak-anak.
“Setiap kali selesai kemoterapi, saya hanya terbaring. Jadi suami melakukan kerja rumah termasuk memasak,” katanya.
Jelasnya, dia buntu untuk mencari dana RM190,000 bagi membeli dos tambahan bagi mengubati kanser tersebut.
Tambahnya, dia ada memohon bantuan kewangan kepada pihak berkaitan dan berharap sekiranya diluluskan dapat meringankan beban untuk menampung kos perubatan tersebut.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Nurul Najwa boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0699529000011610 atas nama Mohd. Nor Hafiz.
Sumber: Kosmo