Jelebu: Bertugas sebagai posmen pada tahun 80- an terutama ketika menyambut Syawal kenangan terindah buat pesara Pos Malaysia Shahidin Omar,71, yang menetap di Kampung Kampai di sini.
Ketika itu kebanyakan ucapan hari raya dihantar melalui kad menyebabkan dia antara orang terpenting yang ditunggu-tunggu kehadirannya.
Shahidin sebelum itu pernah menjadi anggota tentera selama lima tahun dan mengambil keputusan berhenti serta memohon kerja sebagai posmen pada 1978.
Katanya dia menjadi individu paling sibuk menjelang Syawal kerana perlu menghantar ratusan kad hari raya dikirim orang ramai.
“Memang waktu itu, siapa yang pernah bertugas akan menjadi lebih sibuk kerana kad itu perlu diserahkan kepada penerima tepat pada waktunya.
“Tak menang tangan masa itu disebabkan ketika itu posmen di Pejabat Pos Kuala Klawang hanya ada empat orang sahaja, jadi bila tiba hari raya perlu bertugas sehingga lewat petang.
“Mula-mula masuk kerja, tugas menghantar surat menggunakan basikal namun bermula tahun 80an sudah mula menggunakan motosikal,” katanya ketika ditemui.
Dikenali ‘OCPD’ dalam rakan dan penduduk sekitar Kuala Klawang, Shahidin berkata dengan bilangan kakitangan pos yang tidak ramai, kad raya yang sampai perlu diasingkan secara manual, selain kad raya pelbagai jenis surat juga perlu diberi perhatian apatah lagi membabitkan surat rasmi.
Katanya, cabaran utama pula ketika proses penghantaran apabila banyak rumah yang tidak bernombor, kadangkala ada yang hanya menggunakan alamat secara umum seperti depan kedai, depan masjid dan sebagainya.
Justeru itu, katanya, surat atau kad raya hanya diletak kebiasaan di kedai yang menjadi tumpuan di sesebuah kampung sahaja.
“Saya pernah juga dimarahi orang ramai terutama apabila kad raya dikirim sampai lambat iaitu selepas hari raya namun tidak pernah ambil hati.
“Pasangan bercintalah yang sebenarnya memang tertunggu-tunggu kad raya disebabkan itu sahajalah komunikasi paling murah dan cepat ketika itu,” katanya.
Katanya, zaman berganti zaman, kad raya dilihat semakin pupus malah tidak pernah lagi kedengaran pengumuman Pos Malaysia berkaitan tarikh akhir penghantaran kad raya.
Shahidin berkata, dia bersara sebagai posmen pada tahun 2004 ketika berusia 50 tahun.
Sumber: Harian Metro