Saya Hormati Permintaan Suami – Fatin Afeefa Tinggalkan Dunia Seni, Ingin Fokus Pada Keluarga

0
71
Foto: Kosmo

PETALING JAYA – Lama tidak muncul menerusi mana-mana karya drama mahupun filem, pelakon yang juga penyanyi Fatin Afeefa sebenarnya nekad mengambil keputusan berundur daripada dunia hiburan kerana mentaati permintaan suami.

Ujar Fatin atau nama sebenarnya Fatin Nur Afifah Shamsudin, 30, dia mahu memberikan sepenuh perhatian kepada keluarga atas permintaan suaminya, Aliff Awang yang memintanya menjaga aurat.

“Selepas berkahwin, saya hormati permintaan suami saya. Dia kata boleh ke tak payah berlakon dan menyanyi? Saya jawab boleh sahaja, sebab saya tidak kisah pun dan saya sayang dia. Saya tidak akan berlakon dan menyanyi lagi.

“Tapi saya minta sedikit kelonggaran untuk buat beberapa kempen. Maklumlah saya sudah terbiasa bekerja. Saya hanya keluar sebulan sekali bekerja dan dia bersetuju. Nak kata ralat tinggalkan lakonan dan nyanyian, tidak langsung.

“Sekarang ini saya lebih suka duduk rumah. Tak tahu macam mana nak jelaskan, tapi rasa tenang sahaja perasaan. Hidup dalam keadaan yang orang ramai tak ambil tahu, tiada tekanan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ujar pelakon filem Tentang Bulan itu lagi, dia ingin memperbaiki diri dan menjadi manusia yang lebih baik selain mahu menjaga batas pergaulan sebagai seorang Muslim.

“Saya mencuba untuk perbaiki diri dan menjadi seorang muslim yang lebih baik. Suami kata suara itu aurat, dan saya cuba belajar untuk kurangkan semua itu.

“Macam berlakon, semua sedia maklum kebanyakan akan secara bebas. Apabila saya fikir semula, betul juga.

“Dulu masa saya berlakon pun bergaul campur dan bebas, ada laki orang, bini orang. Saya tidak mahu lagi berada di situasi itu lagi. Fokus sekarang keluarga sahaja,” ujarnya panjang lebar.

Terus istiqamah menutup aurat dengan sempurna, Fatin memberitahu dia dan suami ingin menjadi contoh ibu bapa yang terbaik untuk anak-anak mereka.

“Saya mahu menjadi seorang muslim yang lebih baik. Saya dan suami juga sudah buang posting-posting yang haram dan tidak elok dalam media sosial. Untuk mendidik anak, ibu bapa perlu tunjuk contoh baik untuk diikuti, ‘role model’.

“Saya pun masih belajar untuk semua itu. Termasuk memakai tudung dulu pun agak kekok pada mulanya sebab tidak tahu.

“Insya-Allah, doakan yang baik-baik untuk saya sekeluarga,” katanya.

Fatin mendirikan rumah tangga dengan Aliff pada Disember 2022.

Sebelum itu, Fatin pernah berkahwin dengan pelakon Adam Shahz pada 21 Disember 2013, namun bercerai 30 Mei 2017.

Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan cahaya mata perempuan bernama Ivy Herra Sophia, 9 tahun. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here