KUALA LUMPUR – Pelakon versatil, Ellie Suriaty menyifatkan dakwaan pelakon baharu menjadi mangsa buli bintang senior di set penggambaran sebagai tuduhan menyedihkan.
Kata Ellie nama lengkapnya Ellie Suriaty Omar, 53, pelakon baharu perlu bersedia berdepan dengan cabaran dan kesukaran sebelum bergelar anak seni.
“Tuduhan itu seolah-oleh memberikan gambaran industri hiburan kita ini seperti tidak berprestij dan boleh memperkotak-katikkan.
“Pada saya tiada isu buli dalam kalangan pelakon kerana yang ada hanyalah proses pembelajaran dan rasa saling menghormati antara pelakon dan pengarah,” katanya ketika ditemui pada Forum Lihatlah dunia, Trofi FFM (Festival Filem Malaysia) Merubah Hidupku anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di sini hari ini.
Dunia seni itu menegaskan bahawa dia tidak pernah menjadi mangsa buli barisan pelakon senior ketika awal pembabitan.
“Waktu saya menjadi pelakon baharu, masa itu pelakon senior semuanya hebat seperti Datuk Fauziah Nawi, Khadijah Tan, Fauziah Ahmad Daud, Normah Damanhuri dan Allahyarham Azean Irdawaty. Mereka ini bintang yang sangat berbakat dan saya tidak pernah sekali dimarahi atau dibaling skrip.
Maksud saya tahan lasak itu bukan untuk kena sepak terajang, tetapi kemampuan diri untuk bekerja pada waktu orang lain sedang tidur. Semangat menghidupkan watak. Lagi pun bidang seni ini bukan satu cabang kerjaya yang mudah.
“Sekiranya tidak boleh menerima teguran atau kritikan daripada pengarah mahupun produksi, lupakan saja niat jadi pelakon. Lebih baik jadi pempengaruh sahaja,” katanya.
“Sebelum ini saya sudah melatih banyak pelakon baharu dan saya selalu menasihati mereka supaya mempunyai mental dan emosi yang kuat untuk berkecimpung dalam dunia seni ini.
Tuduhan buli itu diibaratkan seperti satu virus. Saya akan kenal pasti individu yang berkata begini dan saya tidak mahu bekerja dengan mereka. Saya tidak akan mengambil mereka berlakon dalam cerita arahan saya. Saya memang sangat serius dan sayangkan industri ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ellie yang bertindak sebagai moderator forum tersebut bagi membincangkan hala tuju karya tempatan untuk bersaing dengan filem antarabangsa.
Barisan panel terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib bersama pelakon Datuk Rosyam Nor, Fauziah Ahmad Daud, Maya Karin dan Erra Fazira.
Sumber – KOSMO! ONLINE