Saudi Benarkan Hanya Sekali Umrah Di Bulan Ramadhan

0
115
Foto: The Merdeka Times

JEDDAH: Arab Saudi mengumumkan had pelaksanaan umrah dengan jemaah tidak boleh mengerjakan ibadah itu lebih daripada sekali ketika Ramadan sebahagian daripada usaha untuk mengelakkan kesesakan di Tanah Suci.

Kementerian Haji dan Umrah, berkata melalui peraturan baharu itu kehadiran ramai jemaah khususnya di Masjidil Haram di Makkah dapat ditangani.

Selain bertujuan mengurangkan kesesakan, langkah terbabit membolehkan akses yang adil kepada semua jemaah dan memastikan pengurusan yang lebih cekap ketika waktu puncak.

Langkah berkenaan akan diperkenalkan melalui portal khusus bagi prosedur ibadah umrah iaitu Nusuk yang akan mengeluarkan notifikasi mesej ralat kepada pengguna yang cuba memohon permit umrah untuk kali kedua.

Mesej itu menerangkan, permohonan mengerjakan umrah lebih daripada sekali ketika Ramadan adalah dilarang bagi memberi peluang kepada jemaah lain.

Ketika Ramadan, berlaku kebanjiran kehadiran umat Islam dari dalam dan luar Arab Saudi ke Masjidil Haram untuk menunaikan umrah dan solat.

Bagi menampung lonjakan jemaah, pihak berkuasa Arab Saudi menjalankan pelbagai langkah untuk memastikan setiap umat Islam memperoleh pengalaman ibadat yang lancar dan selesa.

Kawasan tertentu dalam masjid seperti dataran tawaf dan aras bawah dikhaskan untuk jemaah umrah.

Selain itu, beberapa pintu masuk masjid tertentu turut dikhususkan bagi keluar masuk jemaah, bertujuan mengelakkan kesesakan.

Arab Saudi baru-baru ini, memperkenalkan beberapa kemudahan untuk jemaah negara luar yang ingin menunaikan ibadah umrah.

Individu yang memegang pelbagai jenis visa, termasuk visa peribadi, lawatan dan pelancongan dibenarkan melakukan ibadah umrah serta melawat makam Nabi Muhammad SAW, Raudah di Masjid Nabawi, Madinah, selepas membuat permohonan melalui sistem janji temu menggunakan aplikasi Nusuk.

Selain itu, tempoh visa umrah dipanjangkan daripada 30 kepada 90 hari untuk membolehkan jemaah tinggal lebih lama.

Bagi mendapatkan permit untuk menunaikan umrah, jemaah boleh menggunakan aplikasi Nusuk.

Kementerian turut mengarahkan jemaah mematuhi tarikh dan waktu yang dijadualkan memandangkan mereka tidak boleh mengubahnya.

Bagi jemaah yang ingin melakukan sebarang perubahan, mereka perlu membatalkan permit sedia ada dan membuat permohonan semula. – AGENSI

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here