Sangka Bapa Hilang, Rupanya Ditemukan Meninggal Dunia Di Pejabat

0
113
Foto: Ihsan Pembaca

Sungai Petani: Kehilangan seorang bekas pengurus sebuah kilang di sini sejak empat hari lalu akhirnya terjawab apabila dia ditemukan meninggal dunia di pejabatnya di Bandar Laguna Merbok, di sini, semalam.

Faizuri Md Akhir, 51, ditemukan dalam keadaan tertiarap di ruang pejabat oleh dua anak lelakinya selepas terpaksa memecahkan pintu pejabat itu pada 7.22 malam.

Anak keduanya, Abd Afham Asyraf Faizuri, 28, berkata, bapanya dipercayai keluar dari rumah mereka di Taman Desa Aman, Guar Chempedak ke pejabat itu pada sejak pagi Khamis lalu.

Bagaimanapun katanya, sehingga keesokan bapanya tidak pulang ke rumah menyebabkan dia dan ibunya, Ramnah Sabdli, 52, menganggap bapanya pergi menziarahi neneknya di Pokok Asam, Taping, Perak.

“Memang kebiasaannya bapa selalu ke rumah nenek setiap hujung minggu menyebabkan kami mulanya menyangka dia pergi ke sana.

“Namun yang peliknya, dia tidak menghantar mesej memaklumkan keberadaannya malah talian telefonnya tidak dapat dihubungi menyebabkan kami sekeluarga mula risau,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini hari ini.

Menurut Abd Afham, dia mula tergerak hati untuk menghubungi neneknya pagi semalam namun terkejut apabila dimaklumkan bapanya tiada di situ.

Katanya, dia dan ibunya kemudian cuba menghubungi ahli keluarga terdekat termasuk kenalan bapanya tetapi hampa apabila semua mereka tidak mengetahui di mana bapanya berada.

“Namun, petang semalam, saya dan adik, Amirul Solihin, 19, bergegas ke pejabatnya dan mendapati kereta bapa iaitu Hyundai Matrix masih berada di tempat parkir di bawah pejabatnya.

“Kami kemudian bertindak memecah pintu pejabat yang disewa bapa tetapi terkejut mendapati dan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dipercayai sudah meninggal dunia sebelum bertindak memaklumkan kepada polis.

“Sejak berhenti kerja sebagai pengurus di sebuah kilang kenderaan di Kulim setahun lalu, bapa membuka syarikat sendiri untuk mengajar operator kilang yang terbabit dalam bidang automotif,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda,Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, sebaik mendapat maklumat kejadian itu pihaknya bergegas ke lokasi.

“Kita menemui mangsa dalam keadaan tertiarap dengan keadaan mayatnya sudah mengelupas dan berbau malah pemeriksaan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah.

“Hasil siasatan mangsa yang dipercayai meninggal dunia lebih 24 jam lalu dan temu bual dengan anaknya mendapati mangsa mempunyai sejarah rawatan sakit jantung,” katanya.

Zaidy berkata, mayat kemudian dihantar untuk bedah siasat di HSAH dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here