Sanggup Habis Beribu Jayakan Watak ‘Sam’ Dalam Drama Aku Bukan Ustazah – Shaza Bae

0
45

Walaupun drama bersiri Aku Bukan Ustazah sudah melabuhkan tirainya, namun, judul itu masih menjadi sebutan memandangkan impaknya masih bertahan sehingga ke hari ini.

Momentum daripada sambutan hangat diterima oleh drama itu turut dirasakan salah seorang bintangnya, Shaza Bae yang memegang watak sebagai Sam.

Berjaya merealisasikan watak Sam sebagai seorang gadis tomboi, Shaza berkongsi perjalanan dan usahanya dalam menjayakan watak itu.

“Alhamdulillah, itulah yang saya nak. Apabila pengurus produksi tawarkan watak ini, saya baca sinopsis dan terus beritahu saya nak. Bila pertama kali dapat saya rasa sangat gembira. Alhamdulillah, akhirnya ada juga rezeki di TV3.

“Saya pun rancanglah untuk menjadi Sam atau Salma ini. Dari rambutnya, bajunya, gaya berjalannya, memang saya buat bersungguh-sungguh. Tak kisahlah saya kena laburkan berapa pun, saya sanggup keluarkan,” katanya.

Menurut Shaza, dia sanggup mengeluarkan kos ribuan ringgit semata-mata untuk menjayakan watak itu seperti acuan yang dicipta sendiri.

“Saya pergi ke kedai pakaian, beli baju terus sebab memang nak jayakan sangat watak ini. Saya berhabis beberapa ribu ringgit juga.

“Saya laburkan sejumlah wang untuk watak ini. Saya rasa kalau kamu nak watak itu menjadi, usaha itu bukan sekadar dalam lakonan tapi kena laburkan juga untuk benda-benda begitu,” katanya.

Tampil sebagai gadis tomboi berambut pendek, Shaza mencipta sendiri penampilan Sam mengikut apa yang dimahukannya.

“Produksi tak minta gunting rambut. Tapi, apabila saya kemukakan cadangan, pengarah cakap dia setuju dengan penampilan yang saya cadangkan. Alhamdulillah, orang suka sampai orang lupa Shaza Bae itu. Jadi, pelaburan itu berbaloi.

“Saya sangat gembira bila pergi ke set itu, saya dapat watak berbeza daripada kebiasaan. Orang selalu ingat saya sebagai pelakon antagonis. Bila dapat lakonkan watak Sam yang bersahaja, dia sedikit liar tapi ada banyak mesej yang disampaikan.

“Alhamdulillah, semua orang di set pun dapat berikan semangat kepada satu sama lain. Kami semua dapat rasa keserasian itu semula jadi. Jadi, mungkin kebersatuan pelakon itu nampak di mata peminat.

“Bahkan, saya ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah pun saya berdoa agar drama ini diterima. Alhamdulillah,” katanya.

Dek kerana watak dan drama itu, nama Shaza mula dikenali di negara jiran, Indonesia. Tidak kekok untuk bertutur dalam Bahasa Indonesia, bagi Shaza, itu satu cara untuknya menghargai peminat dari negara Garuda itu.

“Saya sangat gembira kerana saya dapat berbahasa Indonesia dengan fasih sebab saya menjalani latihan lapangan di Indonesia selama tiga bulan dalam bidang media.

“Sebelum ini, saya segan nak bercakap Bahasa Indonesia sebab orang selalu berfikir, kenapa nak kena bercakap Bahasa Indonesia. Tapi, bila dah ramai pengikut dari Indonesia, saya rasa nak hargai mereka dan bercakap dalam bahasa itu.

“Dengan kawan-kawan Indonesia pun, memang saya bertutur dalam bahasa mereka sebab rasa semula jadi. Saya pernah tinggal di sana sekejap, jadi boleh faham gaya pertuturan mereka,” katanya.

Shaza juga berharap Aku Bukan Ustazah akan menjadi pembuka pintu rezeki untuknya berkarya dalam drama untuk tayangan TV3.

“Saya tidak memilih stesen TV pun sebab saya nak cuba semua. Saya tak terikat dengan satu stesen. Mungkin lebih ramai penonton boleh akses ke TV3, jadi, saya memang menantikan untuk berlakon drama di TV3,” katanya.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here