ARAU: Jika di Pulau Pinang, Nasi Kandar Beratur dianggap antara variasi nasi kandar yang terkenal sehinggakan orang ramai sanggup berpanas dan beratur panjang untuk menikmati hidangan itu.
Namun di Perlis pula, terdapat martabak yang dipanggil Martabak Beratur di mana saban tahun pada setiap Ramadan, orang ramai tanpa putus akan beratur untuk membeli hidangan berkenaan.
Malah, cuaca panas yang melanda negeri itu pada waktu ini juga bukan penghalang kepada pelanggan untuk datang beratur di gerai martabak itu yang terletak berhampiran Kampung Guar Halban, Jalan Mata Ayer, di sini.
Yang paling mengejutkan apabila sebahagian mereka datang dari beberapa daerah lain di Perlis dan Kedah.
Menurut pengusahanya, Muhammad Nazir Muhammad Ashraf, 64, dia sudah berniaga martabak di kawasan itu lebih 20 tahun dan hanya akan beroperasi pada bulan Ramadan.
Lazim gerai itu akan dibuka mulai jam 2.30 petang hingga 6.15 petang.
“Namun, adakalanya apabila orang ramai yang datang membeli, maka kita akan tutup perniagaan seawal jam 4.30 atau 5 petang kerana martabak habis dijual.
Meskipun terpaksa menaikkan harga kepada RM6 sekeping berikutan kenaikan kos bahan mentah seperti daging, ayam dan lain-lain, Muhammad Nazir masih dapat menjual antara 800 sehingga 900 keping martabak sehari.
Menurutnya, hari bekerja adalah hari yang ramai pelanggan terutama mereka yang pulang dari kerja.
“Pada hari minggu pula, keadaannya tidaklah sesak sangat namun ada masanya pelanggan beratur sampai jaraknya sepanjang 100 meter bagi menantikan giliran untuk membeli martabak di gerai kami ini.
Tambah Muhammad Nazir, dia turut menerima pesanan martabak menerusi telefon dan pelanggan boleh mula mengambil martabak yang dipesan bermula jam 6 petang.
Bagi memudahkan kerja, Muhammad Nazir turut dibantu lima pekerja.
Seorang pelanggan, Sazali Suratman, 44, berkata, dia menyukai martabak di gerai Muhammad Nazir ini disebabkan tekstur yang tebal dengan isi daging atau ayam dan harganya berpatutan.
“Saya tidak kisahlah untuk beratur panjang bawah terik matahari pun janji martabak di sini dapat saya nikmati kerana martabaknya tebal.
Tambahnya, walaupun sentiasa cuba untuk datang awal, setiap kali dia tiba, orang ramai sudah mulai beratur.
Sumber: Buletin TV3