PETALING JAYA – Ratu cantik Malaysia, Sandra Lim menamatkan kemarau 53 tahun di pentas Miss Universe apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok 30 teratas dalam pertandingan yang berlangsung di Mexico sebentar tadi.
Sandra atau nama sebenarnya Sandra Lim Shue Hui, 24, menjadi wakil Malaysia kedua dalam sejarah yang berjaya lolos ke peringkat tersebut.
Kali pertama Malaysia terpilih adalah pada tahun 1970 menerusi Josephine Lena Wong. Dan itu merupakan kali pertama dan terakhir Malaysia terpilih.
Sandra telah memberikan persembahan yang memukau sewaktu pusingan awal (saringan) yang berlangsung pada Jumaat lepas.
Persembahan Sandra menerusi segmen kostum nasional menerusi busana Walinong Sari dan pakaian renang telah menjadi tular dalam media sosial seluruh dunia.
“Nama Malaysia berkumandang di bumi Mexico. Tahniah Sandra. Akhirnya berjaya menghentikan kemarau 53 tahun di pentas Miss Universe. Malaysia boleh,” komen netizen.
Tahun ini menyaksikan sebanyak 130 negara menyertai pertandingan Miss Universe 2024 sekali gus menjadikan edisi kali ini sebagai penyertaan terbesar dalam sejarah penganjurannya.
Wakil Denmark, Victoria Kjaer telah dinobatkan sebagai Miss Universe 2024. Tempat kedua pula dimenangi oleh Nigeria, ketiga Mexico, keempat Thailand dan kelima Venezuela.
Sumber – KOSMO! ONLINE