Sambutan Hangat Setiap Tahun, ICSYVMY Musim 7 Bakal Disiarkan 23 Jun

0
197

KUALA LUMPUR: Program hiburan popular, I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) yang diadaptasikan daripada program terbitan Korea Selatan kembali bersiaran untuk musim ketujuh selama 11 episod, setiap Ahad bermula 23 Jun ini, jam 9 malam di TV3.

Sejak diperkenalkan, ICSYVMY mencipta fenomena tersendiri dengan pengikutnya yang setia, selain menjadi program realiti hiburan di Malaysia mendapat sambutan hangat setiap tahun dengan capaian sehingga 14 juta tontonan sepanjang enam musim bersiaran.

Kini, ICSYVMY kembali untuk musim ketujuh dengan penampilan penyanyi misteri bersama barisan panel tetap baharu yang terdiri daripada selebriti terkenal tanah air, malah menjanjikan lebih banyak kejutan dan persembahan luar biasa buat penonton.

Penerbit Eksekutif ICSYVMY 7, Jamil Hassan berkata, antara sebab program berkenaan masih diteruskan sehingga musim ketujuh disebabkan sambutan dan rating diterima.

“Ini musim ketujuh, maksudnya kita sudah melalui enam musim bagi program ini. Sebenarnya, rating ICSYVMY tidak pernah mendukacitakan sejak musim pertama ditayangkan.

“Walaupun ada musim ditayangkan ketika fasa pandemik COVID-19, rating program tetap baik dan disebabkan itu, pihak produksi membawanya sehingga musim ketujuh.

“Memandangkan format ICSYVMY ini berbeza daripada program yang pernah ada di Malaysia, jadi ada permintaan yang diterima. Disebabkan itu, kami teruskan ICSYVMY sehingga musim ketujuh,” katanya pada pelancaran dan sidang media ICSYVMY 7 di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Mengulas pembaharuan pada musim ini, Jamil berkata, program disajikan dengan pelbagai elemen tambahan yang sememangnya dapat mencuit hati penonton.

“ICSYVMY 7 menjanjikan lebih banyak elemen baharu dan menarik. Penonton akan dapat menyaksikan gelagat lucu yang pasti dapat menceriakan suasana.

“Kami berusaha keras untuk memastikan setiap episod lebih menghiburkan daripada sebelumnya,” kata Jamil yang turut menjelaskan semua episod sudah siap dirakamkan di studio TV3 di Glenmari, Shah Alam, beberapa bulan lalu.

Program mengambil konsep dan format program asal dari Korea Selatan ini masih mengekalkan Izzue Islam dan Shiha Zikir sebagai pengacara musim ketujuh ini.

Gandingan mantap mereka yang serasi dan lucu dilihat mampu membuat penonton terhibur, malah konsep unik menjadikan program berkenaan terus mendapat tempat di hati peminat dengan kombinasi hiburan, drama dan teka-teki mencabar.

Pada musim ini penonton akan dihiburkan dengan gelagat barisan panel penyiasat tetap baharu yang terdiri daripada barisan selebriti tanah air iaitu Naim Daniel, Riena Diana, Bell Ngasri dan Siti Khadijah Halim.

Istimewa musim ini, penonton akan menyaksikan ICSYVMY 7 tampil dengan tema pakaian berbeza seperti seram, Bollywood, rock dan retro dalam episod tertentu.

Berbeza daripada musim lalu, kali ini akan menampilkan artis jemputan bukan hanya terdiri daripada kalangan penyanyi sahaja, bahkan pelakon dan pelawak.

Barisan panel tetap dan panel jemputan diberikan peluang empat pusingan bagi membantu artis jemputan memilih penyanyi sebenar.

Jika peserta berjaya mara ke pusingan akhir ialah seorang penyamar, peserta bakal memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM3,000, manakala penyanyi sebenar mungkin berpeluang menyertai syarikat rakaman, Alternate Records & Talents bagi merakamkan single bersama komposer terkenal.

Antara artis jemputan yang akan memeriahkan lagi suasana ICSYVMY 7 adalah Sharif Zero, Chacha Maembong, Amy Mastura, Janna Nick, Khai Bahar, Adira Suhaimi dan ramai lagi.

Panel penyiasat jemputan terdiri daripada Ryan Bakery, Azhan Rani, Anna Jobling, Nadeera, Ernie Zakri, Datuk Yusof Haslam dan Marsha Milan.

Penonton juga boleh strim langsung secara HD menerusi platform Tonton di pautan, www.tonton.com.my atau boleh muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here