Sambut Ramadan, Syawal Ikut Ketetapan Negeri Tempat Tinggal – UAI

0
190
Foto: Kosmo Digital

PETALING JAYA – Umat Islam wajib menyambut Ramadan dan hari raya Aidilfitri mengikut ketetapan yang dibuat di negara atau tempat tinggal masing-masing.

Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) berkata, umat Islam diharamkan meraikan Ramadan dan Syawal mengikut ketetapan negara lain.

“Makkah nampak (anak bulan), kita tak nampak. Kita tak nampak sebab awan mendung, kelabu kerana kabus, tidak cerah, langit gelap maka yang nampak di Makkah wajib mula puasa atau sambut raya dan kita haram,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi video ceramah yang dimuat naik di Facebook, semalam.

Jelasnya, sekiranya ada individu yang berkunjung ke negara yang sudah menyambut perayaan Aidilfitri, maka wajib mereka berhari raya mengikut negara terbabit.

“Sekiranya kita sampai negara yang sudah berhari raya, kita masih 28 hari puasa, wajib tambah sehari puasa lepas Aidilfitri untuk mencukupkan 29 hari.

“Tetapi kalau kita sudah 30 hari berpuasa di Malaysia malam terbang ke Makkah esok orang berpuasa lagi, kita tak sah berpuasa kerana tidak ada puasa 31. Wajib imsak pada 31 dan berhari raya ikut Arab Saudi,” jelasnya.

Sementara itu, menurut Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad, umat Islam wajib untuk menyambut hari raya pada 1 Syawal meskipun jumlah puasanya tidak mencukupi atas faktor perbezaan tempat.

“Kalau orang kita pergi sana (tempat yang tarikh harinya jatuh awal), dia wajib berhari raya walaupun tak cukup 29 hari puasa. Sebab berpuasa itu haram pada hari raya.

“Jadi kita kena berbuka. Cumanya nanti kena ganti puasa satu hari selepas raya. Ini kerana dalam Islam bilangan puasa yang ada itu hanya 29 atau 30 hari,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here